
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan memulakan kutipan bayaran untuk kupon di beberapa kawasan parkir kereta baharu yang ditetapkan di bawah bidang kuasanya, termasuk di Pasar Ikan di sini, berkuat kuasa 2 Mei depan.
Datuk Bandar Miri Adam Yii (gambar) semasa mesyuarat penuh Majlis hari ini mengumumkan perkara itu dibuat selaras dengan Perkara 3(c) Perintah Pengangkutan Jalan (Penyediaan Tempat Letak Kereta) (Majlis Bandaraya Miri) (Pindaan), 2012.
“MBM akan mula mengenakan kutipan bayaran dan kupon di tempat letak kereta di kawasan yang ditetapkan di bawah bidang kuasa Majlis.
“Berkuat kuasa 2 Mei 2025, penguatkuasaan ini akan bermula di Pasar Ikan MBM di Lot 2248, Blok 9, MCLD, yang mempunyai 79 tempat letak kereta di bawah Zon Biru,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihatkan semua pemilik kenderaan agar mematuhi peraturan dan memastikan bayaran letak kereta yang sah dibuat apabila menggunakan tempat letak kereta yang ditetapkan.
Katanya, pembayaran boleh dibuat melalui aplikasi letak kereta pintar, Borneo Park atau menggunakan kupon letak kereta yang boleh didapati daripada ejen yang diberi kuasa.
Beliau berkata, penguatkuasaan akan dijalankan secara berkala dan kompaun akan dikeluarkan untuk ketidakpatuhan.
“Kerjasama orang ramai amat dihargai kerana kami terus meningkatkan aliran trafik, kebolehcapaian dan keselesaan awam secara keseluruhan di dalam bandar raya Miri,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain Yii memberitahu, setakat semalam sebanyak 60 acara, program dan perayaan telah dimasukkan secara rasmi dalam Kalendar Acara Bandar Raya Miri.
Katanya, acara-acara yang dimuatkan dalam kalendar tersebut mempamerkan barisan dinamik dan kepelbagaian aktiviti yang disumbang dan dianjur oleh persatuan, pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan MBM sendiri, sempena ulang tahun ke-20 bandar raya Miri.
Selain itu, pelbagai acara menarik juga telah disahkan untuk Mayfest 2025, menjanjikan sambutan yang tidak kurang hebatnya.
“Kami juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Majlis Pelancaran Mayfest akan berlangsung pada hari Rabu, 30 April 2025 jam 2.30 petang, di Pullman Miri Waterfront,” ujarnya.
|