Beijing: Jambatan Huajiang Grand Canyon di wilayah Guizhou, yang bakal menjadi jambatan tertinggi di dunia, sudah 95 peratus siap, kata seorang timbalan badan perundangan tertinggi China, lapor China Daily.
Zhang Shenglin, timbalan kepada Kongres Rakyat Kebangsaan ke-14 berkata, struktur utama jambatan itu siap pada Januari lalu, dan jurutera sudah mengatasi cabaran teknikal utama projek itu.
Tumpuan kini beralih kepada pemasangan dek, diikuti dengan kerja antikarat pada kabel utama dan projek infrastruktur seperti peralatan mekanikal dan elektrik.
"Apabila jambatan itu dibuka pada separuh kedua 2025, projek hebat ini akan mempamerkan keupayaan kejuruteraan China dan meningkatkan matlamat Guizhou untuk menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia," kata Zhang, yang juga ketua jurutera Guizhou Highway Engineering Group Co.
Laluan utama di jambatan itu meliputi jarak 1,420 meter (m), dengan ketinggian 625 m dari geladak ke air - setanding dengan bangunan 200 tingkat - mengatasi ketinggian jambatan tertinggi dunia pada masa ini yang juga di China iaitu Jambatan Beipanjiang setinggi 565 m di sempadan wilayah Guizhou dan Yunnan di China.
Apabila dibuka, Jambatan Huajiang Grand Canyon juga bakal melakar rekod sebagai jambatan terpanjang di dunia yang dibina di kawasan pergunungan.
"Kekuda kelulinya seberat kira-kira 22,000 tan metrik - bersamaan dengan tiga Menara Eiffel - dan dipasang dalam masa dua bulan sahaja," kata Zhang seperti dilaporkan China Daily.
Di kampung berhampiran, lebih 100 anak muda pulang ke kampung halaman untuk melabur dalam projek pelancongan seperti hotel tebing dan tapak perkhemahan, katanya.
Kumpulan Pelaburan Pengangkutan Guizhou, yang bertanggungjawab untuk program "pembangunan bersepadu jambatan dan pelancongan" jambatan itu berkata, ia sedang mencari pelaburan daripada syarikat dan individu.
Projek itu termasuk pusat perkhidmatan Yundu, sebuah kompleks komersial seluas 21,100 m persegi dengan kemudahan makan, beli-belah, hiburan dan pelancongan.
Pelan pembangunan itu menampilkan 13 subkategori, termasuk jambatan gantung persiaran, kereta kabel ngarai, aktiviti panjat tebing, pasar makanan, produk kebudayaan, hotel peranginan, tapak perkhemahan percutian dan kafe, kata syarikat itu. - HARIAN METRO
|