Kuala Lumpur: Presiden Republik Maldives, Dr Mohamed Muizzu, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula 27 hingga 30 April 2025.
Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, ia adalah lawatan pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden Maldives pada 17 November 2023.
Dr Muizzu akan diiringi oleh beberapa Menteri Kabinet, termasuk Menteri Luar Negeri, Dr Abdulla Khaleel, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Maldives.
"Sempena lawatan ini, Presiden Muizzu akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada 28 April 2025.
"Pada hari yang sama, beliau dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kedua-dua pemimpin akan membincangkan pelbagai isu, termasuk peluang kerjasama dalam sektor perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan, serta belia dan sukan.
"Selain itu, mereka juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama," kata kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan, kemuncak lawatan adalah majlis pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.
Katanya, MoU merangkumi kerjasama dalam bidang pelancongan, sukan, dan kesihatan.
"Selain itu, dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) turut akan disaksikan oleh kedua-dua pemimpin berkaitan Latihan Diplomatik dan penubuhan Konsultasi Dua Hala antara Malaysia dan Maldives.
"Perdana Menteri juga akan menghoskan Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Rasmi untuk meraikan Dr Muizzu di Kompleks Seri Perdana.
"Pada 29 April 2025, Dr Muizzu akan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan Madani daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)," katanya.
Penganugerahan itu, katanya, akan disempurnakan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut kenyataan, selain itu, Dr Muizzu juga akan menyampaikan syarahan umum bertajuk The Intellectual Renaissance: Unveiling the Scientific and Modern Developments of Islamic Civilisation.
Pada tahun 2024, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatatkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus, berjumlah RM862.7 juta (USD189 juta), berbanding RM827.3 juta (USD180.9 juta) pada tahun 2023.
Republik Maldives kini rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan. - HARIAN METRO
|