ANAK-ANAK kecil sentiasa kreatif dalam berimaginasi sehingga kadangkala 'berpura-pura' menjadi seperti ibu bapa sendiri.
Pun begitu, secara luaran mungkin nampak menyeronokkan, namun harus berwaspada khususnya buat anak-anak yang dibesarkan oleh ibu tidak matang dari segi emosi.
Bimbang psikologi menyedihkan itu akan mempengaruhi mereka sehingga terbawa-bawa dalam watak yang dilakonkan itu.
"Kanak-kanak yang memiliki ibu bapa tidak matang dari segi emosi berisiko menjadi sama seperti orang tua mereka," jelas pakar psikologi dan pengarang Fire to Fly: The Secret to Fostering Independence in the Next Generation, Nicole Runyon.
Menurut beliau, jika keadaan itu tidak diatasi dengan baik peranan boleh menjadi terbalik apabila kanak-kanak pula yang akan menjaga ibu bapa khususnya melibatkan perasaan.
Runyon berkata, anak perempuan dibesarkan oleh ibu bapa yang tidak matang dari segi emosi tidak boleh mengalami keletihan emosi kronik. Tambahan pula, mereka mudah penat dek terlalu mengutamakan orang lain berbanding kesejahteraan mental, emosi dan fizikal sendiri.
Perkara sama juga boleh berlaku kepada kepada anak lelaki, namun anak perempuan berisiko mengalami kesan jangka panjang rentetan situasi berkenaan.
"Perempuan dan wanita bersifat komuniti.
"Kita yang membentuk hubungan sosial dalam keluarga dan masyarakat. Ini menjadikan mereka (anak perempuan) lebih cenderung untuk menyenangkan dan menggembirakan orang lain," jelas Runyon.
Dalam erti kata lain, mereka boleh mengalami sindrom anak sulung walaupun mempunyai kakak perempuan.
Tunduk demi gembirakan orang lain
Ibu bapa tidak matang secara emosi boleh meletakkan anak perempuan dalam mod kelangsungan hidup yang kadangkala mencetuskan elemen fight, flight, freeze atau reaksi sistem saraf.
Ini termasuklah fawning yang merupakan tindak balas trauma apabila seseorang cuba menggembirakan orang lain secara berlebihan untuk mengelakkan konflik.
Lazimnya, mereka menunjukkan tindak balas berkenaan demi berasa selamat dalam hubungan. Bagaimanapun, tanpa disedari tekanan kronik berkenaan secara tidak langsung memberi kesan fizikal dan mental.
"Tekanan kronik mendatangkan 'malapetaka' pada badan sehingga anak perempuan boleh mengalami gejala keletihan, gangguan tidur, masalah autoimun dan kurang memberi perhatian dan fokus," ujarnya lagi.
Bukan itu sahaja, ibu bapa yang tidak tahu mengurus perasaan sendiri sebahagian besarnya gagal membesarkan anak-anak.
“Apabila kanak-kanak tidak diajar dari awal cara untuk memproses perasaan dan melepaskannya secara sihat, maka mereka akan belajar untuk menutup titik emosi.
"Perasaan itu bukan hilang, sebaliknya disembunyikan dan terkumpul dalam ruang emosi yang turut berselirat dengan perkara negatif lain,” terang Runyon lagi.
Lama-kelamaan disebabkan sukar menahan beban perasaan tersebut melimpah keluar dalam bentuk keresahan dan simptom kemurungan.
Sehubungan itu, buat para ibu bapa jangan sesekali memandang enteng soal perasaan dan emosi anak-anak.
Tepis tanggapan bahawa dunia kanak-kanak hanya tentang imaginasi dan permainan, sebaliknya mereka juga mempunyai hati dan perasaan sama seperti golongan dewasa.
Kemenjadian anak-anak ketika menginjak dewasa adalah hasil didikan dan acuan daripada ibu bapa. Jagalah emosi demi keharmonian seisi keluarga. — Agensi
|