Taipei: Seorang bekas pekerja kedai minuman di Taiwan menerima gaji terakhirnya sebanyak NT$6,972 (RM938) sepenuhnya dalam bentuk syiling, susulan perselisihan dengan majikannya.
Wanita berusia 19 tahun dikenali sebagai Liu berkongsi di media sosial bahawa selepas meletakkan jawatan, dia menerima gaji terakhirnya dalam beg plastik mengandungi syiling daripada majikannya di Tainan, lapor South China Morning Post.
.
Menurut laporan EBC News, syiling itu terdiri daripada syiling NT$1, NT$5 dan NT$10 dan mengambil masa hampir sejam untuk dimasukkan ke dalam bank.
"Saya dapati NT$20 (kira-kira RM2.69) tidak cukup dan apabila saya bertanya kepada majikan, dia bergurau dengan orang lain, 'ada pengemis datang, beri dia NT$20'," kata Liu.
Majikan kedai itu mempertahankan tindakannya dengan menyatakan ia adalah bentuk 'pendidikan mengejut' terhadap Liu yang menurutnya mempunyai sikap buruk terhadap rakan sekerja dan sering ponteng kerja.
"Saya beritahu dia, apabila kita bekerja, kita perlu hormat orang lain dan berkomunikasi dengan baik. Tapi dia jawab dengan acuh tak acuh, katanya dia tak sabar sebab baru bangun tidur," ujar majikan itu kepada TVBS News.
Majikan berkenaan turut mendakwa Liu meminta pendahuluan gaji walaupun baru bekerja sebulan, dan tidak hadir tanpa makluman selama tiga hari.
Dia juga menggesa supaya undang-undang buruh di Taiwan dikaji semula dengan menekankan bahawa pekerja juga perlu bertanggungjawab atas sikap mereka.
Wanita itu turut mendedahkan bahawa majikannya menawarkan untuk menukar syiling kepada wang kertas jika dia memohon maaf, namun Liu menolak tawaran terbabit.
Menurut Li Xuanchang, Pesuruhjaya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Biro Hal Ehwal Buruh di Tainan, secara teknikalnya, majikan itu tidak melanggar undang-undang buruh.
Katanya, ini kerana pembayaran tidak ditangguh atau dikurangkan, namun pendekatan itu jelas tidak beretika dan tidak bertimbang rasa.
Kes itu mengundang kecaman meluas rakyat Taiwan dengan ramai yang menyelar tindakan majikan berkenaan sebagai menghina dan tidak profesional.- HARIAN METRO
|