"Ayah dia belikan kereta sempena hadiah hari lahir ke-17, jadi selepas ini bolehlah dia memandu kereta sendiri.
"Dia pun dah ada kereta Vellfire tetapi kereta baru ini lebih sesuai untuk dia bawa ke kolej nanti. Takkanlah nak bawa Vellfire besar sangat.
“Insya-Allah bulan ini dia akan ambil lesen memandu. Nombor plat kereta itu pun memang kami hadiahkan sempena nama dia,” katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.
Dalam pada itu, Suzanne memberitahu sebelum ini Alyssa pernah menyatakan hasrat untuk membeli kereta baharu namun dia menasihatkan anaknya itu menghabiskan persekolahan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, impian anaknya itu akhirnya direalisasikan dengan kejutan yang dilakukan di sebuah bilik pameran kenderaan di ibu kota.
“Sebelum ini memang dia ada berkongsi hasrat untuk memiliki sebuah kereta lagi. Saya cakap nanti tunggulah lepas habis sekolah.
“Jadi semalam (Khamis) selepas dia habis shooting drama, saya kata makcik dia minta tolong buat reviu kereta untuk content.
“Kami rekod video seperti biasa dan kemudian buat kejutan untuknya. Dia terharu sangat sebab tak sangka pula dia pergi tempat itu untuk ambil kereta,” ujarnya.
Pada Julai 2020, Alyssa atau Aryanna Alyssa membeli sebuah kereta jenis Toyota Vellfire menggunakan wang yang diperolehi daripada video-video nyanyian dimuat naik di saluran YouTube.
Ketika itu, Alyssa baharu berusia 12 tahun dan keputusan membeli kereta tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen.
Segelintir netizen menganggap, tindakan ibu bapa penyanyi berkenaan membeli sebuah kereta adalah tidak wajar berikutan pendapatan tersebut seharusnya digunakan untuk tujuan pelaburan masa hadapan.
Sumber: mStar