Kuala Lumpur: Tidak pernah timbul istilah merajuk atau kecewa dengan industri hiburan, sebaliknya 'kehilangan' pelakon, Aniq Suhair buat seketika adalah kerana fokus dalam pengajiannya dalam jurusan perniagaan.
Aniq berkata, dia ingin melengkapkan sesi pengajiannya sebelum kembali memberi komitmen penuh kepada lakonan.
"Sebenarnya bukan saya merajuk atau kecewa. Saya cuma ambil masa untuk berehat seketika. Kalau tak silap, sudah lebih setahun juga saya menyepi.
"Sepanjang tempoh itu, saya fokus kepada pengajian, beberapa perniagaan yang saya usahakan dan paling penting untuk kembalikan semula tenaga dan semangat agar dapat kembali berkarya. Insya-Allah.
"Saya masih belum menamatkan pengajian, jadi saya rasa saya belum bersedia untuk memberi komitmen sepenuhnya," katanya.
Menurutnya, apabila dia fokus kepada pengajian sepenuhnya, dia dapat mencapai keputusan cemerlang.
"Dalam masa yang sama, saya tahu penggambaran menuntut masa dan tenaga yang bukan sedikit.
"Namun, dalam tempoh berehat itu, saya dapat lihat bagaimana saya mampu memberi fokus penuh kepada pelajaran dan berjaya mendapat markah tinggi semua subjek saya. Maka, saya nekad untuk habiskan pengajian terlebih dulu," katanya.
Pernah terpalit kontroversi apabila didakwa menghamilkan seorang wanita, Aniq menganggap itu sebagai pengalaman yang mengajarnya untuk lebih berhati-hati dalam mengenali sesiapa.
"Saya anggap semuanya sebagai pengalaman hidup yang mendewasakan saya.
"Saya belajar untuk lebih berhati-hati dalam mengenali orang dan lebih peka dengan niat sebenar mereka yang hadir dalam hidup kita.
"Sekarang, saya memilih untuk berkawan dengan orang yang benar-benar penting, yang saling memberi manfaat dan saling menyokong," katanya.
Aniq akan menamatkan pengajiannya pada Ogos ini dalam jurusan perniagaan di sebuah kolej di Petaling Jaya. - HARIAN METRO
|