|
bhonline.com.my
Oleh Poojaseliin Subramaniam
April 24, 2025 @ 10:56am
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan tegas terhadap penjaja tanpa lesen sekiranya masih gagal berdaftar selepas tempoh pemutihan empat bulan diberikan tamat .
Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Lai Chen Heng, berkata tempoh empat bulan amat mencukupi untuk penjaja membuat permohonan dan menyusun semula operasi mereka untuk mematuhi peraturan sedia ada.
"Empat bulan ini terlalu cukup untuk penjaja memohon lesen... jika mereka masih tidak berbuat demikian, kita tiada pilihan selain mengambil tindakan," katanya kepada BH.
Mengulas tindakan akan diambil, katanya ia termasuk pengeluaran tiga notis peringatan secara berperingkat kepada penjaja terbabit sebelum barangan mereka disita.
"Kita beri peluang, bukan terus sita, tiga notis akan dikeluarkan dahulu dan jika masih tidak bertanggungjawab tindakan sitaan oleh penguat kuasa DBKL bersama anggota polis akan dilakukan sebagai langkah terakhir," katanya.
Chen Heng menekankan pihaknya berusaha menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada penjaja untuk memudahkan proses permohonan lesen, termasuk kerjasama dengan agensi berkaitan serta pemberian taklimat dan panduan berkala.
"Kita bukan nak menghukum, sebaliknya kita bantu mereka keluar dari status penjaja haram dan berniaga dengan sah.
"Kami juga berbincang dengan agensi lain untuk memudahkan proses permohonan lesen ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera (WPKL), Datuk Seri Rosli Sulaiman memaklumkan empat bulan untuk proses pemutihan secara menyeluruh terlalu singkat kerana dianggar terdapat 5,000 peniaga tidak berlesen dalam lima persatuan di sekitar Wilayah Persekutuan.
"Kita minta DBKL memperketat syarat lesen, bukan hadkan tempohnya.Kita perlu pastikan lesen diberikan kepada warga tempatan yang layak, bukan disewakan semula kepada warga asing," katanya.
Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (WPKL), Datuk Mohamad Abdullah, turut menekankan inisiatif ini penting bagi memastikan penjaja di ibu kota bukan lagi didominasi warga asing.
"Empat bulan itu bukan sepatutnya tempoh akhir, tetapi mungkin perlu empat bulan lagi selepas Ogos untuk proses tapisan dan kelulusan lesen secara lebih menyeluruh," katanya lagi.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan DBKL memberi tempoh sehingga Ogos ini kepada penjaja tanpa lesen untuk tampil mendaftar dan memohon lesen perniagaan yang sah.
Menurutnya, langkah pemutihan itu bukan sahaja bertujuan membantu peniaga kecil, malah membolehkan pihak berkuasa mendapatkan data dan pemetaan lebih jelas terhadap isu penjaja haram di ibu kota.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|