
KUCHING: Bantuan kewangan khas berjumlah RM25 juta yang bertujuan untuk memperkasa wanita Sarawak dalam bidang keusahawan kini berada dalam fasa akhir perancangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pinjaman khas yang diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tahun lalu tersebut dirangka dengan terma dan syarat yang lebih mesra wanita agar benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar.
“Kami sedang berbincang dengan Affin Bank untuk mempertimbangkan kadar faedah yang dikenakan, sama ada jumlah pinjaman tertentu dikenakan kadar faedah berbeza.
“Kita mahu memastikan pinjaman ini tidak membebankan pemohon wanita,” katanya semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (IWD) 2025 di Hotel Imperial, di sini, hari ini.

Fatimah (tengah) menerima cenderahati daripada Zarinah (kiri ketiga) sempena Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (IWD) 2025, di Hotel Imperial, di sini, hari ini.
Menurutnya, bantuan kewangan khas ini merupakan pelengkap kepada geran kewangan sedia ada oleh Jabatan Keluarga dan Wanita Sarawak (JWKS) iaitu geran sekali bayar berjumlah RM500 dan RM2,000 kepada wanita dalam kategori B40 dan mereka yang baru memulakan perniagaan.
“RM500 mungkin nampak kecil, tetapi ia boleh membantu usahawan wanita kita untuk membeli bahan-bahan bagi memulakan perniagaan.
“Kami sedar terdapat kumpulan wanita yang berjaya dan memerlukan bantuan modal dalam bentuk geran yang lebih besar atau pinjaman untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Oleh itu, bantuan kewangan khas dalam bentuk pinjaman ini dijangka dapat memberi impak yang lebih besar kepada kumpulan ini,” jelasnya.
Tambah beliau, selain menyediakan modal, pihaknya turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita secara menyeluruh termasuk melalui program literasi digital.
Fatimah bersama-sama tetamu yang hadir merakam kenangan dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (IWD) 2025, di Hotel Imperial, di sini, hari ini.
|