Memiliki sifat lebih manja daripada kucing adalah salah satu kelebihan meerkat yang membuatkannya sangat sesuai dijadikan sebagai haiwan kesayangan.
Sifat manja ini membuatkan pemilik haiwan itu jatuh hati dan memberikan layanan bagai menatang minyak yang penuh.
Wan Mohd Zamri Wan Ismail, 38, berkata, dia memiliki lebih 20 meerkat yang dipeliharanya sejak empat tahun lalu dan kini hanya tinggal empat ekor kerana dibeli peminat haiwan berkenaan.
Menurutnya, dia mengetahui kewujudan haiwan berkenaan di media sosial dan terpikat dengan keletah serta kecomelan meerkat hingga menarik minat untuk memelihara haiwan itu. -
"Ini membuatkan saya tidak takut kehilangan haiwan itu jika membawanya keluar rumah," katanya.
Katanya, dia menyifatkan meerkat sebagai haiwan yang mudah dipelihara dan tidak banyak ragam.
"Najis meerkat tidak berbau seperti najis haiwan peliharaan lain dan ini mudah dari segi pengurusannya.
"Dari segi makanan pula meerkat boleh makan makanan kucing, anjing, ulat dan makan isi ayam atau daging sebagai sumber protein.
"Meerkats turut makan buah-buahan dan paling digemarinya ialah epal," katanya.
Jelasnya, meerkat sejenis haiwan lasak dan tahan penyakit serta tidak memerlukan suntikan vaksin.
"Meerkat adalah sejenis mamalia yang hidup berkumpulan, sekurang-kurangnya dua ekor. Tetapi, juga boleh dipelihara seekor sahaja jika dibela sejak kecil.
"Haiwan ini juga boleh berkawan dengan kucing sebab sifatnya seakan-akan sama dan boleh tinggal bersama," katanya.
Wan Mohd Zamri berkata, habitat asal meerkat ialah di kawasan padang pasir di benua Afrika iaitu Gurun Kalahari (Afrika Selatan) dan Gurun Namib di Namibia.
"Haiwan ini suka sembunyi dalam lubang pasir dan saya turut menyediakan pasir dalam sangkarnya sebagai tempat bermain.
"Pasir ini juga sebagai bahan untuk meerkat mandi sendiri seperti kebiasaan dilakukan di habitat asal dan sekali sekala saya mandikan menggunakan air," katanya.
Katanya lagi, menariknya meerkat ini walaupun bersaiz kecil, tetapi boleh dijadikan pelindung rumah daripada haiwan berbisa.
"Ini kerana haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking adalah makanan meerkat.
"Meerkat juga dilepaskan ke kandang ayam, itik, burung atau kawasan yang berisiko menjadi makanan ular. Sifat pelindungnya seperti anjing menjaga kawasan.
"Malah, meerkat juga akan menangkap haiwan berbisa ini kerana ia memiliki ciri-ciri kalis daripada haiwan berkenaan (haiwan berbisa)," katanya.
Wan Mohd Zamri berkata, meerkat mula bunting pada usia setahun dan tempoh bunting selama 11 minggu.
"Mamalia ini boleh melahirkan lima anak untuk satu kelahiran. Pada usia enam hingga sembilan minggu, anak-anak meerkat mula berhenti menyusu.
"Pada usia dua bulan, meerkat muda sudah kelihatan seperti meerkat dewasa," katanya.
Jelasnya, meerkat boleh mencapai berat sehingga tiga kilogram dan jangka hayatnya antara 10 hingga 11 tahun. - Harian Metro
|