Edited by FOTHER-MUCKER at 14-4-2025 08:14 PM
Rakyat Amerika berlumba-lumba beli barangan China15 April 2025 08:30am
Masa membaca: 3 minit
]
WASHINGTON – Pengurus kedai kopi, Emily Moen di Omaha, Nebraska sedang melayari TikTok apabila sebuah video memberi amaran tentang kenaikan harga produk bayi susulan pengumuman tarif tinggi dibuat pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Moen, 29, yang sedang hamil berkata, dia tidak merancang untuk membeli kerusi keselamatan kanak-kanak, namun mengubah fikirannya setelah melihat klip tersebut.
Dia akhirnya cuba mendapatkan produk tersebut yang dihasilkan di China melalui laman e-dagang popular, Amazon. “Saya bimbang harga sekarang yang dijual AS$200 (RM960) boleh menjadi lebih mahal,” katanya.
Perang perdagangan yang tercetus antara Washington dan Beijing menyebabkan ramai pengguna berlumba-lumba membeli produk import kerana bimbang lonjakan harga pada masa depan.
Ada yang mengambil kesempatan untuk membeli iPhone dan peti sejuk manakala sebahagian besar membuat pesanan barangan murah dari platform e-dagang milik China.
Pengarah pemasaran universiti di Waco, Texas, Tom Barnard berkata, dia membantu ibunya membeli iPhone 16 pada Jumaat lalu.
“Saya berpendapat adalah lebih baik membeli telefon pintar itu sekarang kerana bimbang jika Apple menaikkan harga. Perang perdagangan dengan China mungkin akan berlarutan sehingga akhir tahun ini,” katanya.
Tambahnya lagi, dia bersama isterinya berbelanja kira-kira AS$650 (RM2,874) di Walmart pada minggu lalu kerana khuatir jika tarif tinggi boleh melonjakkan kos barangan runcit.
Persediaan awal Segelintir ibu bapa turut berdebat tentang hadiah Hari Natal kira-kira lapan bulan lebih awal untuk mengelakkan harga yang melambung tinggi.
Facebook menjadi platform untuk golongan itu bertukar pendapat tentang jenis hadiah mengikut bajet masing-masing untuk perayaan tersebut pada Disember depan.
Ada juga pengguna yang telah membuat persediaan lebih awal.
Bree Chaudoin, 47, berkata, dia segera menaik taraf iPhone tidak lama selepas Trump menang pada Pilihan Raya Presiden pada November lalu kerana sudah menjangkakan tarif baharu tersebut.

Pengguna di Amerika mengambil peluang untuk menaik taraf iPhone masing-masing.
Chaudoin juga membeli khemah atas bumbung buatan China berharga AS$1,500 (RM6,633) dan produk lain dari platform e-dagang terkenal di Beijing seperti Temu dan AliExpress.
“Saya cuba dapatkan produk tempatan, namun harganya jauh lebih tinggi. Lebih baik saya dapatkan barangan yang serupa dihasilkan China,” jelasnya.
Lonjakan dalam jualan baru-baru ini memberi faedah kepada beberapa syarikat, namun penganalisis runcit memberitahu firma berkaitan kini lebih bimbang jika kuasa membeli pengguna semakin berkurangan.
Ahli ekonomi Wall Street antara yang meramalkan tentang risiko kemelesetan di tengah-tengah perang perdagangan global.
Sentimen pengguna juga kian merosot apabila kebanyakan isi rumah khuatir dengan inflasi. - Agensi
Info Rumah Putih memperkenalkan kadar tarif 145 peratus ke atas import China yang kini berdepan langkah timbal balik dengan kadar cukai dikenakan Beijing sebanyak 125 peratus.
Data awal menunjukkan ramai pengguna Amerika menyerbu pasar raya dan pusat beli-belah sejak awal bulan lalu untuk membeli stok barangan selepas pengumuman tarif dibuat Trump ke atas hampir kesemua rakan dagang negara itu.
Menurut firma penganalisis data pembayaran kad debit dan kad kredit, Earnest Analyctis, pengguna berbelanja di Apple meningkat kepada 20 peratus antara 2 dan 7 April berbanding perbelanjaan secara purata sejak beberapa bulan lalu.
Perbelanjaan juga meningkat sebanyak 10 peratus di Home Depot, rangkaian gedung serbaneka, Belk pula bertambah sebanyak 18 peratus. Kedai runcit, rangkaian premis yang menawarkan diskaun besar turut diserbu golongan yang melakukan pembelian panik.
Data Consumer Edge yang merekodkan tingkah laku pengguna mendapati jualan sayur-sayuran dalam tin dan balang meningkat sebanyak 23 peratus, jualan kopi segera (naik 20 peratus), jualan sos tomato (naik 16 peratus) berbanding minggu sebelumnya.
Pengguna berbelanja besar untuk peralatan elektronik terutamanya iPhone sebelum Trump mengecualikan tarif ke atas produk tersebut pada Jumaat lalu. Kira-kira 80 peratus iPhone untuk pasaran AS dihasilkan di China.
|