Edited by Vellfire at 12-4-2025 02:03 PM

Sepasukan pegawai JAS yang membuat pemeriksaan dan pemantauan di kawasan perairan laut di pantai Kampung Kuala Nyalau pada Khamis susulan penemuan banyak bangkai ikan. - Gambar JAS Bintulu
BINTULU: Bangkai ikan-ikan kecil termasuk ikan lumba-lumba telah ditemui terdampar sepanjang beberapa meter di pantai Kampung Kuala Nyalau kawasan Samalaju oleh penduduk kampung, pada Khamis.
Rakaman gambar dan video mengenai penemuan bangkai itu juga ditular dalam perkongsian oleh seorang warga net dalam media sosial.
Seorang pegawai JAS sedang membuat pemeriksaan lanjut. - Gambar JAS Bintulu
Sementara itu, Ketua Jabatan Alam Sekitar (JAS) Bintulu Abdul Mazli Hafiz Abdul Malik berkata, susulan penemuan bangkai ikan di pantai Kampung Kuala Nyalau dalam video media sosial itu, pihaknya telah mengenal pasti ia adalah spesies ikan kecil yang dibuang dari kapal pukat tunda nelayan.
Katanya, setakat ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak menerima maklumat tumpahan minyak atau laporan aduan daripada Samalaju Port, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut atau Sarawak Coastguard yang membuat rondaan di laut.
"Pagi tadi, kita telah ke lokasi dan mendapati tiada sisa-sisa minyak dan tiada pencemaran, kita juga telah menguji kualiti air di kawasan itu semuanya baik," katanya kepada Utusan Borneo semasa dihubungi hari ini.
Mengenai bangkai ikan lumba-lumba yang turut ditemui di kawasan itu katanya, pihaknya termasuk Jabatan Perikanan tidak tahu akan puncanya namun pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah mengambil sampel ikan tersebut untuk mengenal pasti keadaan yang membawa kepada kematian haiwan itu.
Gambar tangkap layar bangkai ikan kecil dari video yang dirakam seorang penduduk tempatan di pantai Kampung Kuala Nyalau pada Khamis.
Menjelas lanjut mengenai kes terbabit Mazli berkata, berdasarkan apa yang diberitahu oleh ketua kampung di situ, mereka ternampak kapal pukat tunda membuang ikan di kawasan tersebut tetapi daripada jenis ikan kecil yang tidak bernilai.
"Sebelum ini pernah berlaku kejadian sama tetapi tidak ditularkan," katanya sambil apabila berlaku pencemaran selalunya akan melibatkan dua atau tiga jenis ikan dalam jumlah yang banyak tetapi kali ini daripada jenis spesies ikan sama.
Katanya, tiada punca lain yang dapat dilihat semasa diperiksa serta kualiti air di kawasan pantai itu juga berada dalam keadaan baik dan Jabatan Perikanan turut mengambil sampel ikan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya telah membuat pemantauan dan persampelan kualiti air laut untuk dibandingkan dengan Malaysia Marine Water Quality Standards iaitu ujian 'in situ' untuk air di situ yang didapati tiada masalah serta tiada kesan pencemaran seperti sisa minyak kapal.
Begitupun Mazli berkata, pemantauan lanjut akan diteruskan oleh Jabatan Alam Sekitar untuk melihat sekiranya ada punca lain yang menyumbang kepada kejadian ini.
Hasil daripada ujian kualiti air yang dibuat oleh JAS. - Gambar JAS Bintulu
|