ALBUM: Hajiji (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama para pemenang Anugerah Perdana Belia 2025.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan merangka Enakmen Pembangunan Belia Sabah menjadikannya platform undang-undang untuk mengukuhkan pengurusan organisasi belia, memperluas pengiktirafan terhadap aktivisme belia dan memastikan ruang yang lebih teratur untuk pembangunan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, dengan enakmen itu, kerajaan negeri mahu supaya setiap pemimpin belia diberikan masa, ruang dan sokongan untuk memimpin dengan yakin dan terus menyumbang kepada negeri tanpa diketepikan akibat perubahan dasar.
Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan Negeri (KKBS) dan Majlis Belia Sabah (MBS) telah diberi tanggungjawab untuk meneliti perkara ini termasuk isu dasar peralihan umur belia.
"KKBS dan MBS akan melakukan kajian menyeluruh mengenai dasar peralihan umur belia kerana isu ini perlu dikaji secara mendalam, mengambil kira struktur sosial, kematangan organisasi, dan realiti di lapangan, terutamanya di Sabah," katanya pada sambutan Hari Belia Nasional peringkat negeri di sini, semalam.
Beliau berkata, pembangunan belia di Sabah akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri termasuk menyediakan kemahiran dan alat yang diperlukan untuk memimpin negeri pada masa depan.
“Dibawah pentadbiran GRS-PH, kerajaan negeri telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan untuk pembangunan belia.
“Kestabilan politik telah membuka ruang kepada pembangunan berterusan dan dasar berpaksikan rakyat, termasuk dalam aspek pembangunan belia,” katanya.
Hajiji berkata, Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman dalam ucapan dasar kerajaan turut menekankan bahawa pembangunan belia perlu diberi keutamaan, khususnya dalam kerangka negeri termasuk dalam aspek pendidikan, kemahiran dan kepimpinan.
“Oleh itu, kerajaan negeri sentiasa mengambil kira aspirasi belia, termasuk usaha untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.
"Ini adalah untuk memastikan bahawa apabila tiba masanya untuk generasi muda mengambil alih tampuk kepimpinan, mereka akan layak dan mampu membawa negeri dan negara ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri telah melancarkan beberapa inisiatif dan program bantuan pendidikan yang telah memberi manfaat kepada pelajar di negeri ini.
Beliau berkata, inisiatif baharu seperti Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES) juga telah diperkenalkan bagi memperluas akses kepada pendidikan tinggi dan menyokong kegiatan sekolah.
"Inisiatif-inisiatif ini adalah antara 13 inisiatif pendidikan yang diberikan kepada pelajar, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan pelajar Sabah di dalam dan luar negeri, dengan jumlah RM75.5 juta.
“Inisiatif lain yang telah dilaksanakan dan diteruskan tahun ini termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), dan Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) dan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRSSUBFLY).
“Dalam aspek pembangunan kemahiran, Kerajaan Negeri terus memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program latihan teknikal di negeri ini.
"Lebih daripada 179 kursus dalam bidang sains, teknologi, inovasi, dan bahasa telah dijalankan tahun lepas, dengan lebih 35,000 pendaftaran. Kami juga menggalakkan belia untuk menceburi industri minyak dan gas di Sabah yang sedang berkembang bagi meningkatkan kemahiran mereka dan memenuhi permintaan masa depan sektor tenaga," katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada pembangunan belia dalam bidang sukan melalui pembinaan dan naik taraf infrastruktur sukan seperti kompleks sukan, arena belia dan gelanggang serbaguna di kawasan luar bandar yang kini dimanfaatkan oleh komuniti setempat.
Pada masa sama katanya, program berimpak tinggi seperti Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ) dan Dewan Belia Negeri Sabah yang dilaksanakan bersama Majlis Belia Sabah, serta Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS), menyediakan platform yang sangat baik untuk golongan belia mengasah kemahiran dalam ekosistem kepimpinan dan tadbir urus negeri.
Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap Majlis Belia Sabah yang disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) sebagai badan utama dan tulang belakang gerakan belia negeri.
“Oleh itu, saya mahu Majlis Belia Sabah terus memimpin golongan belia di seluruh negeri dengan penuh dedikasi dan terus memperkenalkan inisiatif dan program yang terbaik, relevan dan inklusif bagi pembangunan menyeluruh generasi muda negeri ini,” katanya.
Hajiji menggesa golongan belia untuk terus bersama kerajaan dan menyokong semua inisiatif demi manfaat mereka dan kesejahteraan rakyat.
“Marilah kita bersama kerajaan mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi melalui kerjasama dan sokongan berterusan. Ini adalah penting untuk kelancaran pelaksanaan pembangunan di Sabah," katanya.
|