View: 411|Reply: 5
|
[Tempatan]
'Daging' hasil makmal, korang sanggup ke makan?
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Saintis, Dr Mohamad Hafizi Abu Bakar mencucuk hirisan berwarna coklat terang berkilat di atas pinggan di depannya. Pandangannya penuh rasa curiga.
Disinari cahaya terang lampu kalimantang, hirisan 'daging' yang tergelepai di hujung garpu itu langsung tidak kelihatan seperti unagi, sejenis belut air tawar Jepun yang sering dinikmati di restoran sushi kegemarannya.
Mula-mula beliau menghidu baunya. Hmm, berbau agak hanyir seperti ikan. 'Bagus', bisiknya dalam hati. Kemudian beliau meneliti pula tekstur 'unagi' itu.
Sebenarnya tidak kelihatan seperti unagi pun, tetapi lebih mirip kepada plastik yang dibuat menyerupai unagi.
Namun rasa ingin tahunya membuak-buak. Sambil memasukkan hirisan itu ke dalam mulut, terlintas di fikirannya akan kemungkinan beliau perlu bergegas ke tandas selepas itu.
Bagaimanapun, lidahnya memberitahu segalanya okey.
"Rasanya sama. Memang rasa unagi sebenar. Tak boleh nak bezakan pun. Saya dan isteri selalu makan di Sushi King, jadi kami tahu rasanya," kata Mohamad Hafizi sambil ketawa.
Ujian rasa dengan keputusan positif pada 25 April lepas itu melegakan Mohamad Hafizi, pensyarah kanan dalam bidang teknologi bioproses di Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM) serta Jason Ng, Naib Presiden merangkap Pengasas Cell AgriTech Sdn Bhd yang memberikan unagi terbabit kepadanya.
Mereka teruja kerana hirisan unagi itu bukan berasal dari sungai atau tangki, sebaliknya dihasilkan saintis menggunakan sel dasar diambil daripada belut yang 'ditumbuhbesarkan' di bawah persekitaran terkawal dalam bioreaktor di sebuah makmal.
Rasa antara cabaran terawal yang perlu mereka atasi sebelum dapat memperkenalkan unagi dan produk seumpamanya secara meluas di Malaysia yang sedang mencari kaedah baharu bagi memenuhi keperluan makanan rakyatnya, susulan peningkatan mendadak import makanan, gangguan iklim dan penangkapan ikan secara berlebihan.
Penerimaan terhadap teknologi daging hasilan makmal atau daging kultur ini mampu menjadi pemangkin perubahan besar buat Malaysia yang mencatat kadar sara diri makanan sebanyak 69.9 peratus, ketinggalan berbanding Singapura 73.1 peratus, menurut Indeks Keterjaminan Makanan Global 2022 yang diterbitkan The Economist, akhbar mingguan tentang ekonomi, teknologi dan budaya.
Malaysia mempunyai kebergantungan tinggi pada import makanan bagi memenuhi permintaan dengan kadar importnya mengatasi eksport.
Pada 2023, nilai import makanan Malaysia ialah sebanyak RM78.79 bilion, merangkumi produk daging, tepung gandum, tenusu dan sayur-sayuran, berbanding RM75.62 bilion pada tahun sebelumnya.
Kadar sara diri bekalan beras negara pada 2023 ialah 56.2 peratus dengan pengeluaran beras merekodkan penurunan daripada 2.28 juta tan metrik pada 2022 kepada 2.18 juta tan metrik setahun kemudian.
Gangguan global - daripada sekatan pergerakan akibat Covid-19 hinggalah peperangan di Ukraine - mendedahkan betapa mudahnya rantaian bekalan makanan terputus.
Data kerajaan menunjukkan sekalipun Malaysia mengimport tidak sampai 10 peratus hasil laut, ikan adalah sumber protein penting bagi rakyatnya.
Malaysia antara pengguna tertinggi ikan dan hasil laut, kebanyakannya daripada sumber laut dan air payau, bukan air tawar, kata Prof Madya Amy Then Yee Hui daripada Institut Sains Biologi, Universiti Malaya (UM).
Menurut beliau, industri penternakan ikan diwujudkan bagi meringankan beban perikanan laut, namun sektor itu juga ada masalahnya sendiri, antaranya kos pengeluaran yang tinggi, kekurangan tanah serta kerosakan alam sekitar, khususnya di sungai dan paya bakau.
"Sebenarnya kita mengalami masalah penangkapan ikan berlebihan ini sudah hampir 30 tahun, jadi, pada asasnya kita memang tidak boleh tambah lagi (jumlah tangkapan ikan di laut), namun permintaan terhadap hasil laut terus meningkat," katanya.
Satu lagi isu yang dihadapi oleh penternak ikan ialah perubahan iklim. Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Perikanan, Dr Azhar Hamzah berkata, perubahan suhu melampau menyebabkan banyak kolam ternakan ikan dijangkiti penyakit dan memerlukan rawatan serta ubat-ubatan yang mahal.
"Stres haba melemahkan sistem imun. Suhu yang tinggi pula akan menjejaskan kualiti air," katanya.
Selain itu, kejadian banjir dan ribut pula merosakkan kolam ikan, menyebabkan ternakan terlepas ke perairan bebas dan seterusnya mengganggu ekosistem setempat.
Kini muncul pilihan baharu, iaitu daging kultur - protein berasaskan haiwan sebenar, dihasilkan tanpa perlu diternak atau ditangkap. Namun, adakah ini benar-benar satu penyelesaian?
Bagi Singapura, jawapannya 'ya'. Republik itu menjadi negara pertama di Asia Tenggara membenarkan penjualan daging kultur pada 2020.
Malaysia mungkin menyusul tidak lama lagi, susulan penubuhan makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi pengeluaran daging kultur yang pertama, di Pulau Pinang pada 2023.
Pengeluaran daging kultur menggunakan teknologi DNA dan dimulakan dengan mengekstrak sebilangan kecil sel daripada haiwan, sama ada yang hidup ataupun baru disembelih bagi memenuhi piawaian halal, dan diletakkan di dalam bioreaktor.
(Bioreaktor ialah sebuah alat dalam bioteknologi yang digunakan bagi proses biologi di bawah persekitaran terkawal.)
Sel-sel dasar itu yang diberikan nutrien dan oksigen, akan menghasilkan otot atau sel lemak, tanpa darah atau tulang. Apabila proses tumbesaran selesai, rupanya seakan 'daging cencang'," kata Ng daripada Cell AgriTech.
"Kami ambil sel daripada haiwan dan 'tumbuh besarkan' ia di dalam bioreaktor. Oleh itu, kami dapat katakan yang daging kami hasilkan ini mempunyai DNA yang sama dengan daging konvensional."
Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, penyelidik di bahagian kawalan kualiti akan melakukan penjujukan genom bagi memastikan tidak ada mutasi atau pencemaran berlaku semasa proses 'tumbesaran'.
Ng yang juga anak jati Pulau Pinang, berkata syarikat itu menumpukan pada penghasilan ikan kultur sebagai langkah strategik, bagi mengelakkan keperluan pensijilan halal yang diwajibkan ke atas haiwan darat.
Katanya mereka masih menunggu tindakan kerajaan meminda undang-undang sedia ada agar penjualan daging kultur dapat dibenarkan secara rasmi di Malaysia.
Buat masa ini kerajaan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan selama enam bulan, yang turut membabitkan Mohamad Hafizi sebagai antara penyelidik.
Sumber : Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
|
Edited by L.U.S.M at 11-5-2025 12:25 PM
https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4887-irsyad-al-fatwa-siri-ke-595-daging-kultur-cultured-meat-menurut-perspektif-syarak |
|
|
|
|
|
|
|
Menarik....sumber protein macam ni bagus untuk mengurangkan kos penternakan dan import daging.
So selepas ini penternakan hanya untuk Korban dan Aqiqah sahaja. |
|
|
|
|
|
|
|
Harap lebih banyak syarikat Bioteknologi Malaysia berkembang dan terlibat dalam industri makanan. |
|
|
|
|
|
|
|
Why not? If it's for nation survival... |
|
|
|
|
|
|
|
Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, penyelidik di bahagian kawalan kualiti akan melakukan penjujukan genom bagi memastikan tidak ada mutasi atau pencemaran berlaku semasa proses 'tumbesaran'.
Sorry not for me..benda organik semua dah diubahsuai..recipe for diseases like cancer, autism, adhd dan segala jenis kecelaruan sel dan genetik
We are what we eat
|
|
|
|
|
|
|
| |
|