SHAH ALAM – Gelagat seorang lelaki warga emas yang dilihat makan bersendirian sambil berbual dengan kerusi-kerusi kosong di sebuah restoran di sini mengundang rasa sebak dalam kalangan pelanggan lain yang menyaksikan kejadian berkenaan.
Menurut satu perkongsian di Facebook menerusi kumpulan Pakar Diari Hati, kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 10.30 malam ketika seorang pengguna dan keluarganya menjamu selera selepas membeli barangan sekolah anak-anak.
“Kami ternampak seorang pak cik menyusun pinggan, cawan dan kerusi dengan sangat teratur. Lama-kelamaan, kami perasan dia menyediakan lapan set hidangan lengkap termasuk lapan teh ais.
“Apabila makanan sampai, dia makan bahagian dirinya dan kemudian berbual dengan kerusi di sebelah, seolah-olah sedang makan bersama keluarga. Isteri saya terus menangis, kami semua sebak,” tulis pengguna berkenaan.
Tambahnya lagi, anak-anak mereka turut menunjukkan reaksi sedih melihat gelagat lelaki itu yang makan sambil berbual sendiri tanpa seorang pun menemani di meja makan.
Difahamkan, warga emas itu sering berkunjung ke restoran berkenaan sebanyak dua hingga tiga kali seminggu, dan setiap kali akan membuat pesanan untuk lapan orang.
“Dia akan susun semuanya sendiri dengan teratur dan tetap bayar penuh, walaupun makan seorang diri,” kata seorang pekerja restoran.
Pekerja itu turut memaklumkan bahawa lelaki berkenaan seorang yang sangat teliti serta tidak teragak-agak menegur sekiranya terdapat kekurangan dalam hidangan, walaupun hanya segelas air.
“Dia bukan orang kurang siuman. Pakaian dia sentiasa kemas, siap pakai pelitup muka. Kita tidak tahu kisah hidup yang dia lalui, tetapi jelas dia seorang yang pernah kehilangan orang tersayang,” katanya.
Peristiwa itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang meluahkan rasa simpati, selain menjadikan ia sebagai peringatan bahawa kehilangan insan tercinta boleh meninggalkan kesan mendalam, meskipun telah lama berlalu. - SINAR HARIAN
|