Ibu 3 anak dituduh tipu ejen pembekal, dapat komisen RM172,985
Nur Izzati Mohamad - Mei 9, 2025 @ 12:44pm

A Puvanesvari dikawal polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD
BUTTERWORTH: Ibu tiga anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas 28 pertuduhan menipu ejen pembekal pita pelekat sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan komisen RM172,985.
A Puvanesvari, 51, didakwa di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bekas eksekutif sebuah syarikat yang kini tidak bekerja itu diwakili peguam, Teh See Khoon, mengaku tidak bersalah dan mohon kesnya dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memperdaya seorang lelaki yang juga ejen sebuah syarikat pembekal pita pelekat berhubung projek pembekalan produk berkenaan.
Ia menyebabkan mangsa menyerahkan wang komisen antara RM1,000 hingga RM19,500 menerusi 28 transaksi ke empat akaun bank berbeza yang dikawal tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah apartmen di Jalan Bagan Jermal, Seberang Perai Utara, di sini, antara 26 April hingga 24 Jun tahun lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli yang menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh.
Bagaimanapun, See Khoon memohon ikat jamin minimum dengan alasan anak guamnya mempunyai tiga anak berusia 13 hingga 19 tahun masih belajar, selain bergantung sepenuhnya pendapatan suami sebanyak RM3,000 sebulan.
See Khoon turut memaklumkan anak guamnya menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM28,000 dan menetapkan 6 Jun untuk sebutan semula kes.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1393989/ibu-3-anak-dituduh-tipu-ejen-pembekal-dapat-komisen-rm172985
|