DALAM diam penyanyi Jaclyn Victor kembali bergelar isteri kepada pensyarah Calvin T Samuel selepas enam tahun hidup menjanda.
Berita gembira itu dikongsi rakan artis iaitu penyanyi Shila Amzah yang mengucapkan tahniah kepada Jaclyn dan suami menerusi Instastory pada Ahad.
“Akhirnya! Saya tumpang gembira buat Jaclyn,” katanya ringkas.
Jaclyn, 48, mengenakan busana gaun berona putih manakala Calvin sedondon dengan memakai sut penuh.
Majlis perkahwinan itu dilangsungkan di sebuah dewan diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat.
Selain Shila, rakan artis lain yang turut hadir pada majlis berkenaan adalah Datuk Ramli MS, Tomok, Nikki Palikat, Marsha Milan dan Siti Nordiana.
Turut hadir Dina Nadzir, Che Puan Sarimah Ibrahim, Anuar Zain dan Hael Husaini.
Untuk rekod, Jaclyn pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi asal Amerika Syarikat iaitu Shawn Rivera pada Julai 2014, namun bercerai selepas lima tahun berkahwin.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Jonah Joshiah Rivera, 10, dan Molly Marguerite Rivera, 8 tahun. - mStar
|