Kuala Lumpur: Lelaki sesak nafas selepas enam kediaman di Lorong Mewah 3, Bandar Tun Razak di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Komander Operasi Kanan, Mustafa Kamal Mohd Arih, berkata, terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian, pada 10.49 malam.
Beliau berkata, susulan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak, dibantu BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sungai Besi, BBP Cheras, BBP Sri Hartamas dan BBP Taman Tun Dr Ismail, bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan kekuatan 43 orang, dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, setibanya di lokasi pada 10.54 malam, didapati kebakaran membabitkan enam rumah teres.
"Rumah terbabit terbakar (antara) 50 peratus ke 70 peratus, dengan seorang mangsa lelaki berusia 45 tahun sesak nafas dan dihantar ke hospital.
"Mangsa ditempatkan di zon kuning dan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 12.06 tengah malam, dan punca kebakaran masih dalam siasatan. - HARIAN METRO
|