Kuala Lumpur: Polis mengesahkan tidak menerima sebarang permintaan wang tebusan berhubung kehilangan wanita berusia 42 tahun ketika dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tiada sebarang permintaan wang tebusan dari mana-mana individu membabitkan kehilangan wanita berkenaan.
"Kes dalam siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Rusdi berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata wanita yang dikenali sebagai Pamela Ling dijadualkan hadir memberi keterangan di SPRM mengenai satu siasatan yang sedang dijalankan dan ketidakhadirannya disahkan oleh pihak SPRM.
"Ini bukan kali pertama Ling hadir ke SPRM untuk memberi keterangan berkaitan kes yang disiasat oleh suruhanjaya terbabit. Beberapa saksi termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa telah dirakamkan keterangan untuk membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, keluarga mangsa menerusi kenyataan media memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan supaya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Adik mangsa, Simon Ling Wan Siong berkata kakaknya telah menghantar pesanan WhatsApp kepada peguamnya pada 1.57 tengah hari mengatakan bahawa wanita itu dalam perjalanan ke SPRM di Putrajaya dan dijangka tiba pada 2.08 petang dengan menaiki kereta perkhidmatan e-hailing.
"Walaupun pelbagai cara dilakukan oleh keluarga dan peguamnya untuk menghubungi mangsa selepas 2 petang, panggilan telefon tidak dijawab dan pesanan WhatsApp tidak delivered.
"Grab Malaysia juga mengesahkan bahawa perjalanan terbabit telah ditandakan sebagai selesai, tetapi tiada maklumat lanjut yang diperoleh selepas itu," katanya. - HARIAN METRO
|