Edited by JoyahMengayah at 7-5-2025 12:12 AM
Kuala Lumpur: Berselindung di sebalik pelaburan patuh syariah, seorang pempengaruh yang juga suami kepada selebriti tanah air dikesan menjadi dalang satu skim yang memperdaya lebih 140 pelabur dengan anggaran kerugian RM43 juta.
Bukan itu saja, dia juga menjalinkan kerjasama dengan seorang tokoh kewangan Islam disegani yang bertindak sebagai penasihat sehingga ramai yang terpedaya dengan tawaran menarik terbabit.
Lebih malang, seorang pakar motivasi tersohor bersama ahli keluarganya turut menjadi mangsa selepas melabur dengan skim berkenaan beberapa tahun lalu.
Pelaburan menjanjikan pulangan dividen setiap suku tahun selama tiga tahun itu turut memperdaya mangsa dengan tawaran agihan dividen setiap dua bulan.
Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Kamal, 40-an berkata, rata-rata pelabur dijanjikan pulangan 18 peratus sepanjang tempoh pelaburan yang berkaitan dengan penghasilan biodiesel dan tenaga lestari menggunakan teknologi dari negara luar.
"Pelabur juga diyakinkan bahawa pelaburan ini membabitkan penghasilan sarung tangan getah dan perdagangan barangan komoditi seperti minyak masak, diesel dan gula.
"Ramai pelabur yakin kerana ia dipromosi oleh suami selebriti terbabit bersama individu yang dikenali dengan ketokohannya dalam kewangan Islam termasuk di luar negara," katanya ketika membuat aduan kepada peguam, Dr Mahmud Jumaat baru-baru ini.
Selain itu katanya, suami selebriti itu juga meyakinkan pelabur bahawa mereka akan menerima dividen mengikut jadual menyebabkan dia menyerahkan wang RM250,000.
Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Azah, 40-an berkata dia menyertai pelaburan berkenaan selepas menghadiri sesi taklimat dalam talian bersama individu berkenaan pada Januari 2023.
"Selepas saya membayar hampir setengah juta ringgit menerusi beberapa transaksi, saya terus menagih janji untuk menjadikan saya sebagai pemegang saham dalam syarikat.
"Sudahnya saya berputih mata apabila modal penyertaan pun hangus, keuntungan dijanjikan juga tidak nampak," katanya.
Justeru, beliau berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya kepada syarikat berkenaan agar kejadian sama tidak berulang pada masa depan dan lebih ramai lagi yang menjadi mangsa.
BH
|