SEBUT sahaja Terengganu, pasti ramai membayangkan keropok lekor Losong dan sos istimewa yang sering dijadikan hidangan minum petang.
Tidak kurang juga yang ingin mendapatkan busana batik dan hasil tenunan yang menawan di samping pelbagai jenis masakan tradisional di sana.
Selain terkenal dengan pelbagai jenis warisan makanan dan budaya, negeri yang sinonim dengan penyu ini juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai dilakukan bersama keluarga.
Menerusi hantaran di Facebook, Wan Muhd Ali berkongsi beberapa aktiviti yang boleh dilakukan di Terengganu.
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk meneroka salah sebuah negeri di Pantai Timur ini.
1. Tangkap ketam pantai, remis dan kepah
Aktiviti ini biasanya dilakukan waktu pagi lepas subuh atau waktu air pantai surut.
Memang seronok tangkap ketam, balik boleh buat masak lemak.
Bagi yang mencari remis dan kepah, anda dinasihatkan supaya bersedia daripada segi fizikal kerana perlu duduk mencangkung di tepi pantai untuk tempoh yang lama.
Maklumlah, tenaga diperlukan untuk mengorek pasir bagi mendapatkan siput.
Kalau lakukan bersama dengan anak-anak, memang terasa 'bonding' tu.
2. Candat sotong
Kalau berkunjung ke Terengganu sekitar bulan April hingga Julai, anda berpeluang melakukan aktiviti mencadat sotong.
Memang menarik kalau naik bot pada waktu malam dan berada di tengah-tengah laut sambil mencadat sotong.
Selain gembira apabila berjaya memperoleh hasil, anda juga dapat menikmati suasana tenang dan nyaman sambil dilimpahi cahaya lampu daripada bot-bot lain.
3. Main pasir dan mandi laut
Pantai Terengganu terkenal dengan panorama yang indah kerana pasirnya berwarna putih dan bersih.
Anda yang berkunjung bersama keluarga bolehlah meluangkan masa yang panjang untuk bermain pantai dan membina istana indah.
Paling menarik apabila anda berada di tepi pantai sehingga matahari terbenam.
Pantai Bukit Keluang, Teluk Ketapang atau Pantai Pandak pasti memberi pengalaman indah untuk anda abadikan.
Tapi jangan pergi pada musim tengkujuh ya!
4. Berkelah di air terjun
Air terjun seperti Lata Belatan, Sekayu, Chemerong sentiasa menjadi perhatian pengunjung luar mahupun penduduk setempat.
Selain bermain air yang sejuk dan jernih, anda pasti rasa tenang menikmati suasana hutan yang menyegarkan.
Bagi yang ingin menyaksikan bandar Kuala Terengganu dari pandangan atas, bolehlah menjejaki Bukit Besar.
Jika naik pada waktu petang, anda akan ditemani keindahan panorama matahari terbenam, memang mengasyikkan.
5. Pancing tepi pantai atau jambatan
Bagi kaki pancing, anda jangan lepaskan peluang untuk mencuba pengalaman memancing di pantai.
Pastikan bawa umpan dan joran yang bersesuaian ya.
Kepuasan dirasai apabila dapat hasil.
6. Naik bot tengok pulau dan bakau
Anda yang ingin melakukan aktiviti lasak dan lain daripada yang lain, bolehlah naik bot sekitar Sungai Terengganu atau ke pulau-pulau seperti Pulau Duyong dan Pulau Kapas.
Selain dapat melihat keunikan di setiap pulau, anda akan rasa diri seperti pelancong luar.
Jangan lupa untuk ke Bukit Maras atau kampung-kampung pelancongan tertentu yang menawarkan sukan permotoran seperti ATV. - mStar
|