Azalina, Ewon wakili kerajaan ke istiadat Pengebumian Negara Paus Francis Azalina Othman Said (kiri) dan Ewon Benedick.
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, akan mewakili kerajaan ke Istiadat Pengebumian Negara mendiang Paus Francis di Vatican City, esok.
Kementerian Luar mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Istiadat pengebumian Negara berkenaan termasuk mengadakan upacara keagamaan berdasarkan adat Roman Katolik (Misa Pengebumian) di St Peter's Square, Vatican City yang akan dipimpin oleh Ketua Kolej Kardinal, Giovanni Battista Re.
Istiadat perarakan akan diadakan bagi mengiringi jenazah Paus Francis ke Basilika Santa Maria Maggiore di Rom, tempat mendiang bakal disemadikan dalam satu upacara tertutup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Paus Francis pada 21 April lalu.
Dalam perutusan beliau, Perdana Menteri memperingati sumbangan besar kepada usaha dialog antara agama, pengurusan alam sekitar serta perlindungan hak bagi golongan terpinggir.
Pada 23 April lalu, Ewon menandatangani Buku Takziah di Kedutaan Vatican di ibu negara bagi pihak Kerajaan Malaysia. – BERNAMA
|