
Vesel nelayan yang ditahan untuk siasatan lanjut.
BINTULU: Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C yang melanggar syarat sah lesen telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu dalam satu rondaan khas di kedudukan kira-kira 10.2 batu nautika dari Pantai Penipah Mukah pagi Khamis.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, vesel terbabit dikesan melakukan aktiviti perikanan di kedudukan terbabit sekitar jam 7 pagi semasa rondaan Op Tiris 3.0 dan Op Permai 01/2019.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati vesel berkenaan telah menangkap ikan di zon larangan iaitu kurang daripada 12 batu nautika dari pantai, yang jelas melanggar syarat lesen perikanan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, vesel berkenaan dikendalikan enam kru warga tempatan termasuk nakhoda berumur antara 28 hingga 54 tahun yang kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kru nelayan yang ditahan untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, vesel bersama kru telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memperketat kawalan serta penguatkuasaan undang-undang di perairan negara bagi memastikan sumber perikanan negara tidak dieksploitasi secara haram.
Tegasnya, Maritim Malaysia menyeru komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan mengutamakan keselamatan ketika berada di laut.
"Sebarang pelanggaran undang-undang tidak akan dikompromi," tambah Muhammad Suffian.
Selain itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kejadian kecemasan di laut boleh menyalur segera ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314254) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544).
|