Edited by JoyahMengayah at 25-4-2025 12:11 PM
Kementerian Kesihatan (KKM) menerima kritikan hebat susulan penganjuran majlis sambutan Hari Raya besar-besaran di kementerian itu semalam.
Ramai pihak mempersoalkan perbelanjaan KKM untuk majlis rumah terbuka itu, selepas beberapa gambar acara berkenaan menunjukkan sambutan yang meriah termasuk persembahan daripada artis popular tanah air.
Berdasarkan beberapa gambar yang dimuat naik di akaun Facebook Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, antara artis yang dijemput menghiburkan tetamu ialah penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza dan raja pop, Jamal Abdillah.
Satu kumpulan penari tradisional Melayu turut kelihatan membuat persembahan di atas pentas dalam acara itu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Hantaran Facebook Dzulkefly yang dimuat naik sebelum jam 11 malam tadi menarik ratusan kritikan, termasuk daripada individu yang dipercayai petugas kesihatan.
“Untungnya orang-orang kementerian kan, jamuan level-level kayangan..artis panggil yang mahal-mahal. Kalaulah bajet tu digunakan untuk repair klinik-klinik yang daif lagi bagus,” kata satu komen netizen pada hantaran tersebut.
Seorang lagi netizen bertanya: “Aik, ada bajet pulak?”
“Kalau saya, saya malu nak buay jamuan dan up kat sosmed bila pakerja bawah jagaan saya burn out. Itu saya lah,” komen seorang lagi, dipercayai merujuk kepada isu beban kerja petugas kesihatan KKM di seluruh negara.
“Lauk boleh tambah, staff bila nak tambah?" soal seorang lagi warga maya.
Ada juga komen di Facebook Dzulkefly yang menggesa menteri itu meletakkan jawatan.
MalaysiaKini
|