Edited by tatod at 22-4-2025 05:16 PM
Kuala Lumpur: Pelakon, Eyka Farhana, 30, mengesahkan dia bakal melangsungkan pernikahan dengan pemain bola sepak Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, awal bulan depan.
Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi ketika dihubungi berkata, majlis pernikahan mereka bakal berlangsung dalam majlis yang sederhana di sebuah lokasi di Kuala Lumpur dengan dihadiri ahli keluarga terdekat dan teman rapat.
"Saya mohon maaf tidak dapat beritahu tarikh tepat untuk majlis pernikahan kami atas sebab tertentu.
"Setakat ini, semua persiapan untuk majlis pernikahan kami juga berjalan lancar. Saya mohon doa dari semua terutama peminat agar majlis pernikahan kami nanti dipermudahkan, Insya-Allah," katanya kepada Harian Metro.
Eyka berkata, dia juga sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
"Pastinya saya juga berdebar dan teruja untuk menanti detik diijabkabulkan sebagai isteri nanti.
"Apapun, kami sudah lama berkawan dan percaya sudah sampai seru untuk saya berumah tangga," katanya.
Terdahulu, video Eyka diraikan dalam parti bujang dengan memakai selempang yang tertulis 'bride to be' yang dimuat naik rakan artis, mencuri perhatian ramai di media sosial.
Acara parti bujang itu turut dihadiri rakan artis yang juga teman rapatnya seperti Mimi Lana, Azira Shafinaz, Yaya Zahir dan Amelia Henderson di sebuah restoran di Kuala Lumpur, sebelum ini.
Eyka dan Akhyar sudah mengikat tali pertunangan pada 4 Ogos tahun lalu. - HARIAN METRO
|