Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin (tengah berbaju putih) dalam sebuah program di Jakarta, Indonesia. - Foto INSTAGRAM BGSADIKIN
JAKARTA: Pemerintah Indonesia akan memulakan program pemeriksaan kesihatan percuma pada Februari 2025, sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat.
Program itu diumumkan oleh Menteri Koordinator Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Pratikno, sebagai komitmen pemerintah untuk memastikan rakyat memiliki akses kesihatan yang lebih baik.
"Penyakit bukan sahaja mengurangkan produktiviti tetapi juga memberi beban berat kepada pemerintah. Oleh itu, sumber daya manusia yang unggul adalah mereka yang sihat secara fizikal, mental, dan moral," katanya di Jakarta pada 14 Januari.
Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, menjelaskan bahawa program pemeriksaan kesihatan percuma ini akan memberi tumpuan kepada pencegahan penyakit yang menjadi punca kematian utama di Indonesia seperti strok dan penyakit jantung.
Tiga indikator kesihatan utama akan diperiksa iaitu tekanan darah, paras gula dalam darah, dan kolesterol.
"Maklumat mengenai program ini sudah mula disebar luaskan sejak Januari 2025. Pemeriksaan akan dijalankan di 10,000 pusat kesihatan masyarakat (PUSKESMAS) dan sehingga 20,000 klinik swasta," jelas Budi.
Budi juga menyatakan bahawa pemeriksaan itu akan dilakukan berdasarkan kategori umur.
"Untuk bayi dan kanak-kanak, pemeriksaan akan menumpukan kepada gangguan kongenital, manakala untuk orang dewasa, ia termasuk pemeriksaan kanser. Semua keputusan akan dihantar melalui aplikasi SatuSehat, sama seperti sistem PCR semasa pandemik COVID-19," katanya.
SatuSehat, aplikasi kesihatan awam yang diintegrasikan dengan ekosistem pertukaran data kesihatan Indonesia, akan menjadi saluran utama bagi pendaftaran dan pelaksanaan pemeriksaan ini.
Pengguna boleh memuat turun aplikasi ini untuk mendapatkan tiket pemeriksaan yang boleh digunakan semasa hari lahir mereka di pusat kemudahan kesihatan yang terlibat.
"Program ini bertujuan untuk memudahkan rakyat mendapatkan akses kesihatan secara sederhana dan mudah," katanya di akaun Instagramnya, @bgsadikin.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan, banyak kematian yang berpunca daripada penyakit kronik sebenarnya boleh dicegah jika dikesan lebih awal.
Pratikno, yang menekankan pentingnya usaha itu, berkata pemeriksaan kesihatan adalah langkah utama untuk membantu rakyat mencegah penyakit kronik sejak peringkat awal.
Masduki Baidlowi dari Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyokong usaha itu dengan mengatakan, 'Pemerintah harus terus mendekatkan program kesihatan ini kepada semua lapisan masyarakat, termasuk kawasan pedalaman'.
Program pemeriksaan kesihatan percuma itu adalah sebahagian daripada program percepatan nasional yang diumumkan oleh Presiden Prabowo Subianto dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka.
Selain pemeriksaan kesihatan, program lain termasuk pembinaan hospital di kawasan luar bandar dan pencegahan penyakit seperti tuberkulosis.
"Dengan inisiatif ini, pemerintah berharap rakyat dapat lebih peduli terhadap kesihatan mereka sendiri dan mengambil langkah pencegahan yang diperlukan untuk meningkatkan kesejahteraan," tambah Budi.
Program itu bukan sahaja mencerminkan komitmen pemerintah dalam meningkatkan kesihatan rakyat tetapi juga menjadi langkah strategik mencapai visi Indonesia Sihat 2025.
Dengan akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan kesihatan, rakyat diharapkan dapat lebih proaktif dalam menjaga kesihatan mereka.
"Rakyat yang sihat adalah kunci kepada kemajuan bangsa. Inilah asas kepada pembangunan sumber daya manusia yang unggul," kata Pratikno. - AGENSI
|