PSG sudah capai 'matlamat tertinggi' - Enrique
Jun 1, 2025 @ 8:09am

Jurulatih PSG, Luis Enrique menjulang trofi ketika meraikan bersama pemainnya selepas mengalahkan Inter Milan pada final Liga Juara-Juara di Allianz Arena, Munich. – Foto REUTERS
MUNICH: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique berkata beliau dan kelab itu sudah mencapai "matlamat tertinggi" mereka selepas kemenangan bergaya 5-0 ke atas Inter Milan pada final Liga Juara-Juara.
Sejak pengambilalihan kelab oleh pemilik dari Qatar pada tahun 2011, PSG memenangi 11 daripada 13 gelaran liga Perancis, namun trofi utama yang sentiasa diidamkan sering kali terlepas daripada genggaman.
Namun awal pagi tadi, PSG memusnahkan impian Inter di Allianz Arena dan akhirnya menamatkan penantian itu dengan penuh bergaya.
Enrique, yang pernah memenangi Liga Juara-Juara bersama Barcelona di Berlin pada 2015, berkata beliau sudah menyasarkan gelaran itu sejak hari pertama menjadi ketua jurulatih PSG pada 2023.
"Pada hari pertama saya di kampus PSG, bahasa Perancis saya jauh lebih teruk daripada sekarang. Tetapi saya katakan matlamat utama saya sebagai jurulatih adalah untuk memenuhi kabinet trofi," kata jurulatih warga Sepanyol itu.
"Satu-satunya trofi yang belum dimenangi adalah Liga Juara-Juara. Kini kami sudah pun memenanginya. Kami berani dan kami berjaya.

Jurulatih PSG, Luis Enrique dijulang pemainnya selepas mereka mengungguli final Liga Juara-Juara. – Foto REUTERS
"Ia sudah berada dalam genggaman dan akan pulang bersama kami esok."
Pengurus itu turut memberi pujian khas kepada penyerang Ousmane Dembele, menyifatkannya sebagai "luar biasa" dan berkata "dia layak memenangi Ballon d'Or."
Enrique juga memberikan penghormatan kepada anak perempuannya, Xana yang meninggal dunia akibat kanser pada 2019 ketika berusia sembilan tahun.
Selepas tamat perlawanan, penyokong Perancis mengangkat sepanduk yang menggambarkan Enrique dan anaknya sedang menanam bendera PSG ke dalam tanah - simbolik kepada kenangan mereka menanam bendera Barcelona di Berlin 10 tahun lalu.
"Ia amat menyentuh hati. Terima kasih kerana penyokong memikirkan mengenai saya dan keluarga saya. Tetapi saya tidak perlukan kemenangan Liga Juara-Juara atau sebarang perlawanan untuk mengingati anak saya," katanya.
"Dia sentiasa bersama saya. Dia menyokong saya dan keluarga kami dan saya merasai kehadirannya." – AFP

Luis Enrique bersama isterinya Elena Cullell dan dua anaknya meraikan detik gembira PSG memenangi Liga Juara-Juara. – Foto REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/06/1403145/psg-sudah-capai-matlamat-tertinggi-enrique
|