JPJ Pulau Pinang sita 14 kenderaan dipandu warga asing
Oleh Nur Izzati Mohamad - Mei 19, 2025 @ 5:43pm bhnews@bh.com.my

Anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang menjalankan operasi khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di Seberang Jaya, Butterworth. - Foto Facebook JPJ Pulau Pinang
BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita 14 kenderaan dipandu warga asing dalam operasi khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di Seberang Jaya, di sini, Jumaat lalu.
Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di laman sosial Facebook (FB), JPJ Pulau Pinang memaklumkan semua kenderaan membabitkan 11 motosikal dan tiga kereta itu disita kerana pemandu tidak mempunyai lesen memandu.
"Lebih teruk lagi (selain tiada lesen) ada kenderaan diperiksa juga tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tiada perlindungan insurans.
"Oleh itu, 11 motosikal dan tiga kenderaan persendirian dipandu warga asing itu disita dalam operasi Unit Operasi JPJ Negeri Pulau Pinang," katanya.
Kenyataan itu juga memaklumkan penguatkuasaan terhadap warga asing yang tidak mematuhi peraturan jalan raya akan diadakan secara berterusan dari semasa ke semasa.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1397870/jpj-pulau-pinang-sita-14-kenderaan-dipandu-warga-asing
|