Johor Bahru: Peniaga mengalami kerugian lebih RM700,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Victor Genason berkata, pihak polis menerima aduan daripada mangsa berusia 58 tahun, semalam.
"Pengadu mendakwa menjadi mangsa penipuan apabila mengalami kerugian selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan berganda menerusi aplikasi Facebook.
"Kejadian bermula pada 25 Mac lalu apabila mangsa melihat iklan di Facebook menawarkan pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga bulan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian melakukan 15 transaksi ke empat akaun bank yang berbeza bermula 25 Mac lalu hingga 9 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan RM730,500.
Katanya, mangsa mendakwa dia turut diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan hasil keuntungan pelaburan.
"Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan gagal, kecuali hanya mendapat pulangan sebanyak RM9,700 sahaja.
"Siasatan awal mendapati tiga daripada empat akaun bank yang terbabit mempunyai keseluruhan 20 rekod laporan polis membabitkan kes penipuan pelaburan," katanya.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
|