CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 21|Reply: 0

[Sarawak] Dago Randan, tokoh Bidayuh terbilang, pelapor sejarah negara: Minos

[Copy link]
Post time 18-5-2025 07:19 AM | Show all posts |Read mode

Minos (kanan) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada (tengah) memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Datuk Amar Dago.


KUCHING: Mendiang Datuk Amar Dominic Andrew Dago Randan dikenang sebagai tokoh Bidayuh terbilang yang membuka jalan kepada generasi masa kini melalui pelbagai pencapaian penting dalam sejarah negara dan masyarakat Bidayuh.

Menurut penganalisis politik, Dato Peter Minos, beliau mengenali nama  mendiang sejak tahun 1963 semasa masih di tingkatan satu di SMK Bau dan mengagumi peranan besar yang dimainkan oleh Datuk Amar Dago dalam pembentukan Malaysia.

“Beliau merupakan ahli Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang bertanggungjawab membentuk asas penubuhan Malaysia, bersama tokoh-tokoh seperti Tun Abang Openg, Tun Jugah dan Ling Beng Siew.

"Ada yang mengatakan beliau antara penandatangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah (ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara),” katanya.

Sebagai anak Bidayuh, Datuk Amar Dago mencatat banyak pencapaian pertama, antaranya sebagai Ahli Parlimen pertama dari kaum Bidayuh dan Pengerusi pertama kaum itu dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Beliau juga pernah menjadi Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.

“Beliau banyak terlibat dalam pelbagai bidang, politik, khidmat awam dan kegiatan masyarakat,  yang mungkin ramai sudah terlupa. Namun jasa beliau sangat besar,” ujar Minos lagi.

Mengimbau kehidupan masyarakat pada awal 1960-an, Minos berkata keadaan ketika itu amat mencabar, dengan kemudahan komunikasi yang terhad dan pendapatan rakyat luar bandar yang rendah.

Namun dalam keadaan serba kekurangan itu, Datuk Amar Dago berjaya melakar sejarah, sesuatu yang dianggap luar biasa dan mengagumkan, katanya.

“Saya berkunjung ke rumahnya di Kampung Pichin, Serian, pagi tadi (Jumaat) dan melihat pelbagai foto lama beliau sejak awal 1960-an.

"Foto-foto itu memaparkan penglibatan aktif beliau dalam politik, perkhidmatan awam serta pertemuannya dengan ramai tokoh besar negara.

"Rumah beliau ibarat sebuah muzium tokoh hebat, seorang insan luar biasa, di atas ramai dalam zaman yang sukar dan mencabar,” kata Minos.

Penghormatan terhadap mendiang Datuk Amar Dago menjadi bukti bahawa masyarakat Bidayuh tidak akan melupakan tokoh-tokoh pelopor mereka yang memainkan peranan besar dalam sejarah negara.

Datuk Amar Dago meninggal dunia pada usia 91 tahun awal pagi Khamis meninggalkan balu, Datin Amar Mary Margaret Lenuh serta enam orang anak, iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.

Upacara penghormatan terakhir akan diteruskan sehingga Isnin, manakala upacara pengebumian dijadual berlangsung pada 19 Mei, 9.00 pagi di Gereja Trinitas Kudus, Kampung Pichin sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pichin.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-5-2025 01:40 PM GMT+8 , Processed in 0.042349 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list