Wanita cedera tersepit nahas kereta bertembung
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
11 Mei 2025 09:40am

Kereta dipandu mangsa dikatakan bertembung dengan sebuah kenderaan lain dalam kejadian awal pagi Ahad.
SIMPANG AMPAT - Seorang wanita cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 150 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi Ahad.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Pegawai Bomba Kanan II Fairol Mahazi Malek berkata, mangsa yang berusia 20 tahun tersepit di tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Axia berjaya dibawa keluar dalam operasi menyelamat.
Menurutnya, dalam kejadian itu, kenderaan yang dipandu wanita terbabit bertembung dengan sebuah kenderaan jenis BMW kira-kira jam 3.14 pagi.
“Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.14 pagi sebelum sebuah jentera dari BBP Perai bersama sembilan anggota termasuk seorang penyelia dikerahkan ke lokasi.
“Anggota tiba di lokasi pada jam 3.29 pagi dan mendapati seorang mangsa wanita tersepit di bahagian pemandu. Pasukan penyelamat bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas Rescue Tech,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 4.16 pagi.
Turut berada di lokasi ialah anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan serta petugas ambulans KKM.
https://www.sinarharian.com.my/article/727814/berita/semasa/wanita-cedera-tersepit-nahas-kereta-bertembung
|