Pembelian pakaian terpakai atau 'thrift' kian digemari ramai kerana harga barang berjenama ditawarkan lebih murah dan bergaya, namun risiko penyakit kulit sering diabaikan individu apabila membelinya.
Pakaian terpakai ini tidak salah dibeli, apatah lagi ia menyokong gaya hidup lestari. Namun, keselamatan dan kesihatan harus jadi keutamaan. Individu perlu tahu cara menguruskan dengan betul sebelum dipakai.
Walaupun pada mata kasar ia dilihat bersih seperti baharu, pakaian yang tidak diketahui sejarah pemiliknya berkemungkinan menjadi medium penyebaran pelbagai penyakit kulit.
Justeru, setiap kali membeli pakaian terpakai jangan terus disarung, sebaliknya pastikan ia dicuci dengan betul terlebih dahulu.
Penyakit kulit termasuk jangkitan kulat (fungal), scabies (kudis buta), dan kutu badan (body lice) antara berkemungkinan merebak melalui pakaian terpakai yang tidak dibersihkan dengan betul.
Justeru, setiap kali membeli pakaian terpakai jangan terus disarung, sebaliknya pastikan ia dicuci dengan betul terlebih dahulu.
Penyakit kulit termasuk jangkitan kulat (fungal), scabies (kudis buta), dan kutu badan (body lice) antara berkemungkinan merebak melalui pakaian terpakai yang tidak dibersihkan dengan betul.
Pakar Perunding Dermatologi dan Perubatan Dalaman, KPJ Damansara Specialist Hospital, Dr Zareen Aidah Yahya, berkata sentuhan langsung (direct contact) dengan individu yang dijangkiti adalah cara utama penyebaran jangkitan penyakit kulit.
Katanya, bagaimanapun jangkitan turut boleh berlaku secara tidak langsung melalui permukaan atau fabrik tidak bersih.
"Secara amnya, kebanyakan virus, kulat dan parasit ini tidak dapat hidup atau membiak tanpa hos (human host) melebihi 36 jam.
"Tetapi risiko jangkitan tetap wujud dalam keadaan tertentu seperti pakaian yang lembap, ruang penyimpanan tertutup dan amalan berkongsi pakaian dan barangan peribadi termasuk tuala mandi serta cadar katil," katanya.
Beliau berkata, jangkitan penyakit kulit ini tidak kira peringkat umur mahupun jantina, tetapi ia mudah dijangkiti kepada individu berkulit sensitif.
"Antara individu lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti termasuk kanak-kanak kerana kulit mereka lebih nipis dan mudah terjejas.
"Selain itu individu mempunyai kulit sensitif seperti ekzema serta mereka yang mempunyai sistem imun lemah juga mudah dijangkiti," katanya.
Kaitan dengan faktor persekitaran
Mengulas kaitan dengan faktor persekitaran, Dr Zareen Aidah menekankan keadaan sekeliling turut memainkan peranan penting dalam penyebaran jangkitan.
"Kawasan sempit dan padat seperti rumah jagaan warga emas dan sekolah berasrama boleh menjadi medan yang memudahkan penyebaran jangkitan," kata Dr Zaireen Aidah.
Beliau berkata, walaupun penyakit kulit ini boleh merebak melalui pakaian tidak dibersihkan dengan betul, risiko keseluruhannya adalah rendah jika amalan kebersihan yang baik diikuti.
"Justeru, langkah pencucian dan penyimpanan betul wajar diamalkan bagi mengurangkan sebarang risiko jangkitan.
"Langkah pencegahan paling efektif bagi mereka yang gemar membeli pakaian terpakai termasuk mencuci pakaian terpakai itu dengan teliti.
"Sebaiknya, gunakan air panas atau 'steamer' dan bahan pencuci yang sesuai ketika mencucinya. Kemudian keringkan pakaian dibasuh itu dengan suhu tinggi.
"Ini adalah untuk memastikan organisme tidak diingini ini dibunuh secara efektif," katanya.
Kaedah penyimpanan pakaian
Menurutnya lagi, kaedah penyimpanan pakaian juga perlu dititik beratkan dalam membanteras jangkitan penyakit ini.
"Simpan pakaian terpakai di tempat bersih dan kering, jauh dari kelembapan untuk mengelakkan pertumbuhan kulat.
"Selain itu, gunakan beg vakum atau kotak penyimpanan kedap udara untuk memastikan pakaian tetap bersih, terutamanya jika ia tidak dipakai dalam tempoh lama," katanya.
Beliau berkata, setiap pengurusan masalah kulit berjangkit seperti scabies, kulat dan kutu badan bermula dengan mendapat diagnosis yang betul, kerana setiap satu memerlukan rawatan berbeza.
"Rawatan biasanya membabitkan penggunaan krim yang disapukan terus ke kulit.
"Untuk scabies, ini membantu membunuh tungau kecil yang menyebabkan kegatalan manakala ringoworm iaitu angkitan kulat, memerlukan krim antikulat untuk menghilangkan ruam.
"Kutu badan pula dirawat dengan membuang kutu tersebut dan kadangkala menggunakan syampu atau losyen khas untuk membunuhnya.
Katanya, bagaimanapun penghidap penyakit kulit sebaik-baiknya berjumpa dengan pakar kulit bagi mendapatkan diagnosis tepat dan rawatan bersesuaian.
INFO:
Antara jangkitan kulit:
i. Kudis buta (scabies)
• Jangkitan ini disebabkan oleh hama kecil yang hidup di dalam fabrik dan boleh berpindah ke kulit.
ii. Kurap (tinea/ringworm)
Jangkitan kulat yang menyebabkan ruam berlingkar dan gatal.
iii. Impetigo
Jangkitan bakteria yang menyebabkan luka berair dan bernanah.
iv. Dermatitis kontak
Alergi atau iritasi kulit terhadap bahan kimia/pencemaran pada kain.
Sumber: Facebook Public Health Malaysia
|