SEBUAH hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya, "Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya."
Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa perlindungan diri dan tempat tinggal menggunakan ayat ruqyah dibolehkan sebagai pendinding daripada gangguan syaitan.
Menyebut mengenai pendinding rumah, kebanyakan kita ada kalanya mengambil ringan kepentingan memelihara kediaman daripada unsur negatif yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, contohnya, jika mahu meninggalkan rumah beberapa hari.
Rumah yang dibiarkan tanpa penghuni dalam tempoh lama sememangnya menjadi kegemaran makhluk ini untuk 'menumpang'.
Selain bacaan ayat ruqyah, berikut merupakan sembilan amalan yang boleh dilakukan sebelum meninggalkan rumah, untuk mengelakkan jin mengambil kesempatan, sebagaimana perkongsian sebuah pusat rawatan Islam, Pusat Rawatan Taubah:
1. Tutup lubang tandas atau lubang saliran
- Jin dan makhluk halus suka tempat yang lembab dan gelap.
2. Pastikan rumah dalam keadaan bersih
- Jangan tinggalkan sisa makanan atau sampah di dalam rumah.
3. Tutup cermin dengan kain
- Cermin adalah salah satu tempat di mana jin suka bertandang.
4. pastikan pinggan mangkuk atau kuali dalam keadaan tertiarap
- Cara ini bertujuan mengelakkan najis bangsa jin atau binatang melekat.
5. Jangan biar kain baju berlonggok
- Ini salah satu tempat permainan jin, terutamanya pakaian yang sudah dipakai, kerana jin boleh 'menumpang' bau manusia.
6. Usah biar air bertakung
- Sama seperti yang pertama, jin amat menyukai tempat yang lembab
7. Pastikan semua pintu ditutup
- Setiap pintu bilik, tingkap mahupun pintu tandas termasuklah penutup mangkuk tandas perlu ditutup
8. Amalkan membaca ayat Kursi dan ayat 9 surah al-Baqarah
- Baca kedua-duanya sebelum meninggalkan rumah, kemudian tiup pada pintu rumah. Niatkan supaya Allah menjaga rumah daripada gangguan jin
9. Tinggalkan al-Quran terbuka pada surah al-Baqarah
- Jika tidak mampu membaca atau memasang surah, tinggalkan mushaf terbuka pada surah ini kerana rumah yang dibacakan al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan. - mStar
|