SELAIN bangunan pencakar langit, kawasan pantai peranginan adalah destinasi pilihan utama pelancong jika melawat ke sesebuah negara.
Seperti mana kawasan gunung-ganang, pantai tempat paling tenang untuk berehat dan bersantai bersama yang tersayang.
Keasyikan bunyian ombakmenghempas pantai dapat memberikan ketenangan dan merehatkan minda.
Namun tidak perlu pergi jauh kerana di Malaysia ada banyak kawasan pantai yang cantik dan indah panoramanya, antaranya di Pantai Rawa, Johor.
Pantai Rawa terletak 16 kilometer dari Mersing adalah destinasi pelancongan pantai menarik dengan keindahan tersendiri.
Pasir pantainya yang memutih dengan air lautnya yang jernih membolehkan pengunjung melihat hidupan marin dan terumbu karang berwarna-warni di dasar laut .
Kawasan pantai yang bersih dan terjaga rapi menawarkan pemandangan alam menenangkan, menjadikannya lokasi ideal untuk beristirahat sambil menikmati keindahan alam.
Selain itu, Pantai Juara di Pulau Tioman, Pahang antara lokasi pantai tercantik di Malaysia.
Lokasi itu patut anda kunjungi jika ingin lari daripada kesibukan kota dan mendapat ketenangan.
Bukan sahaja suasananya yang sepi dan tenang, malah pelbagai kemudahan lain disediakan seperti aktiviti berkayak, restoran, kemudahan Internet, dan pakej percutian dengan harga berbaloi.
Jika berkunjung ke Langkawi, Kedah, jangan lupa singgah di Pantai Tanjung Rhu yang terkenal dengan kejernihan air lautnya bagaikan kristal.
Pemandangan pantai ini juga menakjubkan dengan panorama deretan pulau kecil.
Dalam pada itu, di pantai timur semenanjung juga memiliki banyak kawasan pantai yang menarik terutama di persisiran pantai di Terengganu.
Antara yang paling indah di Pantai Perhentian Kecil, Pulau Perhentian, Terengganu.
Pantai ini disenarai dalam 100 pantai tercantik di dunia oleh CNN dan anda wajib berkunjung ke sini.
Persisiran pantai Sabah juga memiliki beberapa kawasan pantai indah antaranya pantai di Pulau Mabul.
Ia terletak hampir dengan Pulau Sipadan dan terkenal dengan keindahan hidupan marin serta batu karang.
|