Edited by Vellfire at 6-5-2025 02:59 PM

Dr Philip menunjukkan keratan akhbar lama tentang berita yang ditulis oleh James Ritchie dalam NST.
MIRI: Komuniti Kelabit di Sarawak turut meratapi pemergian ‘Belaan Aran’, nama yang diberikan kepada penulis dan wartawan legenda mendiang James Alexander Ritchie atas sumbangan serta hubungan peribadinya dengan mereka dan kawasan tanah tinggi Bario.
Presiden Rurum Kelabit Sarawak Datuk Dr Philip Raja berkata, pemergian wartawan veteran itu merupakan satu kehilangan besar kepada komuniti dan dirinya secara peribadi.
Katanya, mendiang mempunyai hubungan rapat dengan komuniti Kelabit dan telah menulis sebuah buku bertajuk ‘The Kelabit Leap of Faith: A Journey into the Central Highlands of Borneo’ yang mengisahkan perjalanan masyarakat Kelabit dari zaman Rajah Brooke hingga ke era moden.
“Saya tidak fikir akan ada sesiapa lagi selepas ini yang dapat menulis kisah yang begitu menyeluruh dan terperinci mengenai pencapaian dan sumbangan komuniti serta individu Kelabit dalam pembangunan negara.
“Bagi pihak komuniti kami, saya benar-benar berterima kasih kepada beliau kerana telah merakamkan semua ini untuk dijadikan rujukan sejarah yang berkekalan,” katanya.
Mendiang James Ritchie telah diberi nama Kelabit ‘Belaan Aran’ oleh mendiang bapa saudara Dr Philip, Pemanca Henry Jala, yang juga merupakan bapa kepada Datuk Seri Idris Jala, menteri persekutuan pertama daripada komuniti tersebut.
Nama itu bermaksud ‘pembawa berita baik’ dalam bahasa Kelabit, yang ternyata sesuai dengan peranan yang dimainkannya.
“Selepas James dan isterinya Helen mengambil anak perempuan adik saya Laila sebagai anak angkat dan menamakan dia Rebekah, kami menjadi seperti satu keluarga dengan James. Dato Sri Jacob Robert Ridu dan Datin Sri Garnet juga menjadi ibu bapa baptis Rebekah,” katanya.
James Ritchie meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada 3 Mei pada usia 75 tahun.
Berita kematiannya disahkan oleh salah seorang ahli keluarganya, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Dato Sri Jacob Robert Ridu.
Pakar pediatrik dan perunding kardiologi pediatrik Kelabit itu mengimbas kembali permulaan hubungan peribadinya dengan James Ritchie pada tahun 1993 selepas pulang dari United Kingdom.
“Setelah memperolehi diploma MRCP (UK), yang penting bagi semua doktor perubatan yang menjalani latihan kepakaran di UK, saya mula berkhidmat sebagai pakar kanak-kanak di Hospital Umum Sarawak, Kuching sebelum melengkapkan latihan dalam kardiologi pediatrik di Sydney, Australia.
“Ketika itu, mendiang merupakan wartawan New Straits Times (NST), telah menulis mengenai saya sebagai anak peribumi pertama di Sarawak yang menjadi pakar pediatrik,” katanya.
Beliau turut menulis mengenai pengorbanan datuk Philip, Makai Ulun, yang begitu yakin terhadap pendidikan sehingga sanggup meredah hutan dari Bario ke Long Lellang selama seminggu dan seminggu lagi perjalanan melalui sungai ke pekan Marudi untuk menghantar anaknya dan bapa Philip, Petrus Lawai Busan, ke St Thomas di Kuching untuk belajar.
“Tanpa pengorbanan seperti itu, saya tidak akan berada di tempat saya sekarang, dan James sentiasa tertarik dengan kisah perjuangan rakyat, termasuk komuniti kami di kawasan paling utara negeri ini,” katanya.
“Justeru, kami meratapi pemergian James Ritchie@Belaan Aran rakan dan saudara tersayang. Bagi pihak komuniti Kelabit, kami mengucapkan takziah yang paling mendalam kepada isteri, anak perempuan dan ahli keluarga beliau,” katanya.
|