JKDM Sarawak gagalkan cubaan seludup ganja bernilai RM62,880 dalam dua kes berasingan di Sri Aman

Barang kes pertama yang ditemui semasa pemeriksaan di premis syarikat perkhidmatan kurier di Sri Aman. - Gambar JKDM
KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup 2,102 gram atau kira-kira 2.1 kilogram ganja bernilai RM62,880 membabitkan dua kes berasingan di Sri Aman.
Pengarah JKDM Sarawak Norizan Yahya berkata kedua-dua kes itu melibatkan sebuah syarikat perkhidmatan kurier yang beroperasi di bahagian itu.
Beliau berkata pada 28 Mac 2025, jam lebih kurang 10.15 pagi, sepasukan pegawai kastam daripada Cawangan Narkotik JKDM Kuching telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah syarikat perkhidmatan kurier beralamat di Jalan Durian, 95000 Sri Aman, Sarawak.
“Pemeriksaan yang dijalankan telah menemui empat bungkusan yang disyaki mengandungi dadah jenis ganja dengan anggaran berat kasar 1,024 gram dan dianggarkan bernilai hampir RM30,720,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.
Sementara itu Norizan berkata dalam kes berasingan pada 2 April 2025, kira-kira 11.30 pagi sepasukan pegawai kastam daripada Cawangan Narkotik JKDM Kuching melakukan pemeriksaan di premis sama dan menemui empat bungkusan disyaki mengandungi dadah.
Pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati bungkusan itu mengandungi ganja dengan anggaran berat 1,078 gram dan dianggarkan bernilai hampir RM32,160, tambahnya. Beliau memberitahu, barang-barang kes telah disita di bawah Sekyen 30(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kes-kes ini masih dalam siasatan. Modes operandi kes-kes ini ialah sindiket menyeludup dadah berbahaya melalui mod udara dengan membuat pengikraran sebagai barang dagangan ‘hadiah hari raya’ serta dialamatkan ke alamat yang tidak lengkap bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sehubungan itu beliau meminta orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumt berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berdekatan di semua negeri.
Beliau juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan.
|