SATU kajian terbaharu mendapati bahawa pasangan yang berpisah sebenarnya sudah menunjukkan tanda-tanda keretakan hubungan seawal satu hingga dua tahun sebelum perpisahan berlaku secara rasmi.
Menurut Janina Buhler dari Universiti Mainz, Jerman, kepuasan dalam hubungan menurun secara beransur-ansur selama beberapa tahun sebelum merosot dengan ketara dalam tempoh setahun atau dua sebelum perpisahan.
Selepas fasa itu, hubungan sukar untuk diselamatkan.
Kajian yang dijalankan bersama Ulrich Orth dari Universiti Bern, Switzerland itu menganalisis data daripada empat kajian jangka panjang di Jerman, Australia, Britain dan Belanda, yang melibatkan soal selidik berkala terhadap peserta berkenaan kehidupan dan hubungan mereka.
Buhler menjelaskan bahawa data itu membolehkan mereka meneliti proses ke arah perpisahan secara terperinci tanpa bergantung kepada ingatan masa lampau.
Hasil kajian turut menunjukkan ramai pasangan melalui tahap paling kritikal dalam hubungan selepas sedekad bersama.
Namun, kebanyakan mereka hanya mendapatkan bantuan profesional apabila hubungan hampir berakhir iaitu satu tindakan yang sudah terlambat.
“Jika pasangan mendapatkan bantuan ketika masalah masih di peringkat awal dan belum terlalu parah, peluang untuk memperbaiki hubungan dan mengelakkan perpisahan adalah lebih besar,” kata Buhler. — The Star
|