Putera Harry mahu berdamai dengan keluarga diraja, namun enggan kembali ke UK Putera Harry, pewaris keenam takhta Britain. - REUTERS/ Gambar fail
LONDON: Pewaris keenam takhta Britain, Putera Harry semalam menyatakan beliau mahu berdamai dengan keluarga diraja, namun berasa agak kecewa dengan keputusan mahkamah yang tidak berpihak kepadanya.
"Adalah mustahil untuk membawa pulang keluarga saya ke London selepas mahkamah pada Khamis menolak perlindungan keselamatan kepada kami," katanya dalam temubual eksklusif bersama BBC.
Harry sedih dan mendedahkan bapanya, Raja Charles III tidak lagi berhubung dengannya berikutan isu keselamatan serta penerbitan memoir yang mengkritik institusi diraja.
Beliau turut menggesa Perdana Menteri Keir Starmer untuk campur tangan.
"Sudah tentu ada ahli keluarga yang tersinggung dan tidak akan memaafkan saya kerana pelbagai pendedahan memalukan menerusi buku hasil tulisan saya, Spare.
"Tetapi, saya benar-benar mahu memulihkan semula hubungan kami," katanya kepada BBC.
Putera bongsu Raja Charles III itu berjuang di mahkamah selepas kerajaan menurunkan tahap keselamatannya setelah Duke of Sussex berusia 40 tahun itu melepaskan tugas diraja dan keistimewaan beliau pada 2020 dan berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) bersama isterinya, Meghan dan anak mereka, Archie.
Sejak itu, beliau dan keluarganya tidak lagi menerima perlindungan keselamatan seperti sebelumnya.
Putera Harry menegaskan, beliau tidak mahu bersengketa lagi dan mengakui tidak tahu berapa lama lagi bapanya akan hidup.
"Sudah banyak perselisihan antara saya dan beberapa ahli keluarga saya. Tapi saya telah memaafkan mereka.
"Saya hanya inginkan perdamaian. Tiada gunanya untuk terus bergaduh. Hidup ini terlalu berharga," katanya. Beliau menegaskan, isu keselamatan menjadi punca utama konflik berpanjangan itu.
Putera Harry memfailkan cabaran undang-undang terhadap keputusan itu, namun Mahkamah Rayuan United Kingdom (UK) semalam memutuskan kesnya tidak mempunyai asas kukuh dari segi perundangan.
Susulan keputusan itu, beliau tidak dapat membayangkan situasi di mana dirinya akan membawa isteri dan anak-anak kembali ke UK pada ketika ini.
Beliau juga meluahkan rasa kecewa kerana merasakan keputusan itu dipengaruhi pihak istana dan bukan dibuat secara bebas.
Putera Harry berkata, beliau tidak meminta Raja campur tangan, sebaliknya hanya mahu agar keputusan dibuat berdasarkan penilaian pakar.
Katanya lagi, keputusan untuk menarik balik keselamatan automatik yang diberikan kepada beliau memberi kesan besar kepadanya, isteri dan anaknya.
Beliau turut menzahirkan rasa sedih kerana mungkin tidak dapat memperkenalkan tanah airnya kepada anaknya. "Saya cintakan negara saya dan sentiasa begitu. Tapi amat menyedihkan apabila saya tidak dapat menunjukkan tanah air saya kepada anak saya kerana isu keselamatan," katanya.
Mahkamah menyatakan hujahan Putera Harry mengenai tahap ancaman terhadap dirinya adalah 'kukuh' namun ia tidak mencukupi untuk membentuk asas undang-undang. Beliau turut melahirkan rasa terkejut apabila mengetahui wakil dari istana adalah sebahagian daripada jawatankuasa yang membuat keputusan mengenai keselamatannya, iaitu Jawatankuasa Perlindungan Diraja dan Tokoh Awam (RAVEC).
"Apabila saya tahu wakil istana berada dalam jawatankuasa itu, saya sangat terkejut. Ini bukan keputusan bebas dan saya pasti ada pengaruh daripada istana," dakwa Putera Harry.
Dalam masa sama, Putera Harry menuntut Perdana Menteri UK, Sir Keir Starmer dan Setiausaha Dalam Negeri, Yvette Cooper campur tangan dalam kes itu serta melakukan pembaharuan terhadap cara RAVEC beroperasi.
Pada akhir temu bual itu, beliau berkata pada asasnya, ini adalah pertikaian keluarga. "Sangat menyedihkan apabila selepas lima tahun, kita masih berada di tahap ini." - AFP/ Agensi
|