CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 44|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pemecatan salah: Mahkamah tolak rayuan bekas jurutera MBSP untuk pampasan lebih tinggi

[Copy link]
Post time 2-5-2025 05:51 PM | Show all posts |Read mode
Pemecatan salah: Mahkamah tolak rayuan bekas jurutera MBSP untuk pampasan lebih tinggi

Oleh BERNAMA - Mei 2, 2025 @ 5:34pm




- Foto hiasan mahkamah



PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan seorang bekas jurutera Majlis Bandaraya Seberang Perai yang menuntut jumlah ganti rugi lebih tinggi susulan pemecatannya secara salah daripada perkhidmatan pada 2013.

Mohd Sobri Che Hassan, 49, menuntut ganti rugi dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2019 hingga 2035, iaitu tahun dia mencapai umur persaraan 60 tahun.

Tuntutannya juga termasuk pencen, ganjaran dan faedah berkaitan lain, yang sebelum ini ditolak Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang mengehadkan ganti rugi perlu dibayar kepada Mohd Sobri pada RM440,000.

Jumlah yang diberikan kepada Mohd Sobri mewakili enam tahun gaji, bonus dan pampasan dikira dari pemecatannya pada 3 Disember 2013 hingga keputusan Mahkamah Persekutuan pada 21 Oktober 2019.

Mohd Nazlan berkata Mahkamah Tinggi yang menilai ganti rugi itu adalah tepat dalam keputusannya dan Mohd Sobri tidak layak mendapat faedah melebihi 21 Okt 2019 seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mohd Nazlan yang bersidang bersama Datuk Azimah Omar dan Datuk Dr Alwi Abdul Wahab turut memerintahkan Mohd Sobri membayar kos perundangan RM10,000.

Mohd Sobri diberhentikan pada 2013 selepas didapati bersalah melanggar peraturan tatatertib.

Dia kemudiannya memfailkan semakan kehakiman, mencabar keputusan pemecatannya oleh Pihak Berkuasa Tatatertib Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Majlis Bandararaya Seberang Perai namun ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2015.

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu pada 2017 dan mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan pemecatan tersebut serta mengarahkan penilaian ganti rugi.

Pada 21 Oktober 2019, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan namun memutuskan penggajian Mohd Sobri adalah berdasarkan tempoh beliau dipecat sehingga tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan itu dikeluarkan.

Mahkamah Tinggi kemudiannya menilai dan mengurniakan ganti rugi pada 4 April tahun lepas tetapi menolak tuntutan Mohd Sobri bagi ganti rugi sehingga umur persaraan wajib pada 2035, pencen, ganjaran, kehilangan peluang kenaikan pangkat, bonus, faedah perubatan, ganti rugi kerana malu dan perbelanjaan guaman.

Dalam prosiding hari ini, peguam Vijaya Navaratnam dan Loh Jia Chun mewakili Mohd Sobri manakala Karin Lim Ai Ching, M. Murgan dan Clifford Ong Zun Lung bertindak bagi responden.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1391499/pemecatan-salah-mahkamah-tolak-rayuan-bekas-jurutera-mbsp-untuk-pampasan





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-5-2025 04:00 PM GMT+8 , Processed in 0.337258 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list