Cubaan seludup lebih 1 tan ekstrak rumpai laut dari China gagal
MOHD ISKANDAR OTHMAN
30 April 2025 05:33pm

Pegawai Maqis melakukan pemeriksaan terhadap barang dagangan yang dirampas.
BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan membawa masuk satu konsainan barang dagangan carrageenan atau ekstrak rumpai laut dari China tanpa permit import yang sah.
Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, penahanan barang dagangan itu dilakukan di pintu masuk Maqis Butterworth Wharves Cargo Terminal (BWCT), selepas pemeriksaan rutin oleh pegawai penguat kuasa.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati barangan seberat 1.025 tan metrik yang dianggarkan bernilai RM30,000 itu tidak disertakan dengan dokumen import seperti yang ditetapkan.
"Perbuatan mengimport barangan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
"Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 11(3) akta sama," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Muhammad Ikram berkata, penahanan terhadap barang dagangan tanpa permit import yang sah membuktikan ketegasan Maqis dalam memastikan setiap kemasukan barangan ke negara ini mematuhi keperluan undang-undang.
Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi syarat ini demi memastikan kawalan keselamatan dan biosekuriti negara terus terpelihara.
https://www.sinarharian.com.my/article/725970/berita/semasa/cubaan-seludup-lebih-1-tan-ekstrak-rumpai-laut-dari-china-gagal
|