Alor Setar: Terdengar bisikan misteri menjadi punca seorang lelaki membakar empat kediaman di Taman Wira, Mergong di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, ia susulan penahanan seorang lelaki di lokasi kejadian selepas disyaki melakukan perbuatan khianat.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, suspek berusia 30-an itu dipercayai baru dibebaskan dari penjara baru-baru ini.
"Suspek kini ditahan sejurus selepas kejadian dan direman empat hari untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, tadi.
Siti Nor Salawati berkata, berdasarkan siasatan pihaknya, suspek mendakwa mendengar bisikan menyuruhnya membakar kertas dan meletakkannya dengan bekas plastik di dalam rumah, yang kemudian menyebabkan kebakaran.
Beliau berkata, suspek dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman kerana kesalahan dadah di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya.
"Hasil siasatan juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan rumah suspek turut musnah dalam kebakaran itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
"Pesalah berdepan hukuman penjara lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.
Harian Metro hari ini melaporkan, seorang wanita tidak dapat menahan kesedihan melihat rumah pusaka keluarganya dan tiga lagi rumah terbakar di Jalan Puyu 5, Taman Wira Mergong, di sini.
Ketua Zon 1, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada jam 8.20 malam membabitkan empat rumah yang mana tiga daripadanya musnah 80 peratus manakala sebuah lagi 10 peratus.