CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 53|Reply: 0

[Sarawak] Pemantauan ketat, KPI, Sarawak hampiri sifar 'projek sakit'

[Copy link]
Post time 30-4-2025 09:45 AM | Show all posts |Read mode


Cassidy (dua kanan) dan Uggah melakukan simbolik penyerahan ‘surat setuju terima’ projek pembinaan Jambatan Kampung Bulau di Bekenu, hari ini kepada wakil syarikat pemaju, MSD Enterprise Sdn Bhd, sambil disaksikan oleh Rosey (empat kiri) dan yang lain.

MIRI: Langkah kerajaan mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan melakukan pemantauan ketat dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini membolehkan Sarawak menghampiri sifar 'projek sakit.'

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini terbukti dengan kejayaan Sarawak mengurangkan angka 'projek sakit' daripada lebih 100 sebelum pandemik COVID-19 kepada hanya dua ketika ini.

Menurutnya, selain melantik kontraktor penyelamat kepada 'projek sakit' ini, kementerian yang diterajui beliau iaitu Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut mengambil pendekatan 'One Month Rule (OMR).'

Di bawah OMR katanya, JKR akan menetapkan, kerja-kerja mesti dimulakan selepas 30 hari projek atau surat tawaran projek diserah kepada pihak kontraktor.
"Kalau tidak dimulakan (selepas 30 hari), JKR boleh menamatkan kontrak.

"Jadi kita boleh menamatkan (kontrak) awal kerana kadang-kadang dia (kontraktor) menunggu sampai setahun tidak buat kerja dan inilah satu sebab kenapa projek kita 'sakit'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Jambatan Kampung Bulau di Bekenu dekat sini, hari ini.


Jurutera JKR Bahagian Miri Stephen Ung (kanan) menyampaikan taklimat projek kepada (dari kiri) Rosey, Uggah dan Cassidy pada majlis pecah tanah projek pembinaan Jambatan Kampung Bulau di Bekenu, hari ini.

Mengulas lanjut Uggah berkata, sehingga kini, beliau bersama MIPD dan JKR memantau ketat pelaksanaan projek-projek dengan turun padang untuk meninjau perkembangan dan mengenal pasti masalah (jika ada) yang berlaku.

"Sebab itu, kita (kerap) turun padang kerana kadang-kadang kalau kita telefon dari Kuching, jawapannya memang bagus.

"Tidak ada masalah, pekerja banyak, mesin banyak.

"Tetapi apabila kita turun padang, kita mendapati masalah kekurangan pekerja, kekurangan mesin, ada pelbagai masalah yang lain.

"Jadi apabila kita turun padang, kita boleh bincang dan cari cara menyelesaikan masalah," katanya lagi.

Uggah memberitahu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat berharap projek-projek dapat dilaksana mengikut jadual dan spesifikasi agar dapat memberi kemudahan serta keselesaan kepada rakyat.

Oleh sebab itu katanya, Kerajaan Sarawak telah meluluskan pertambahan pegawai JKR sebanyak 412 orang dengan JKR Bahagian Miri telah ditambah 20 orang lagi bagi menampung jumlah kakitangannya kerana keperluan dan liputan di kawasan Miri yang sangat luas.

Terdahulu dalam ucapannya, Uggah memberitahu projek pembinaan Jambatan Kampung Bulau merupakan projek rakyat yang dilaksanakan di bawah MIPD dengan JKR Sarawak sebagai agensi pelaksana utama.

"Projek ini bernilai RM6,093,026.45 dengan tempoh pembinaan adalah selama 24 bulan dan dijadualkan siap bulan Februari 2027.

"Apabila siap kelak, kawasan ini boleh diakses melalui dua jalan utama, iaitu Lebuh Raya Pan Borneo dan Jalan Pesisir Bintulu-Miri, menjadikan ia sangat strategik
dalam memperluaskan jaringan hubungan antara kawasan Bekenu dan kawasan sekitar," katanya.

Menurutnya, ia melibatkan kerja-kerja pembinaan jambatan baharu sepanjang 90 meter dan lebar 4.5 meter menggunakan teknologi terkini iaitu Ultra-High-Performance Concrete (UHPC) serta pembinaan jalan akses sepanjang 451 meter mengikut Standard JKR R1 di kedua-dua belah jambatan.

"Memandangkan jambatan ini sudah lama dinanti-nantikan oleh penduduk di sini, saya meminta pihak kontraktor untuk menyiapkan dengannya segera iaitu dalam tempoh 18 bulan sahaja, lebih cepat daripada jadual sebenar, 24 bulan," ujar beliau sambil disambut tepukan gemuruh oleh penduduk kampung.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap ADUN Bekenu Datuk Rosey Yunus, Pengarah Kerja Raya Sarawak Dr Cassidy Morris dan Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-5-2025 12:10 AM GMT+8 , Processed in 0.076775 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list