SANDAKAN: Seorang lelaki ditahan selepas mendatangkan ketakutan kepada orang awam dengan membawa parang panjang di sebuah premis di Bandar Indah, di sini, semalam.
Suspek berusia 27 tahun ditahan sepasukan polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, kira-kira jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai seorang lelaki yang disyaki mengamuk sambil membawa senjata tajam.
“Hasil tindakan segera di lokasi, anggota polis berjaya menangkap suspek dan turut dirampas sebilah parang panjang berukuran 70 sentimeter.
“kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahsmon menegaskan komitmen polis untuk terus memastikan keselamatan awam dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menggugat ketenteraman masyarakat. - UTUSAN BORNEO
|