
Majang melakukan simbolik perasmian CCC BPHB hari ini.
BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terus maju setapak lagi dengan pembukaan Customer Centric Centre (CCC) yang lebih efisien dan mesra pengguna, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan II Dato Majang Renggi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju berkata, dengan adanya pusat sehenti ini akan membolehkan semua pihak yang berurusan di BPHB menjalankan urusan secara digital dengan lebih mudah dan pantas.
"Pusat sehenti CCC ini antara lainnya bakal menjadi akses terbaik bagi mempercepatkan proses pengemaskinian data secara digital terutama akses kepada pengguna pelabuhan, pihak kontraktor serta pihak berkepentingan lain yang berurusan dengan BPHB setiap hari," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program Inisiatif Kelestarian BPHB dan CCC di Foyer Wisma Kontena dan Bintulu Port CCC di sini, hari ini.
Menurutnya, dengan lokasi yang strategik, ia bakal memberikan segala kemudahan serta keperluan secara digital kepada setiap pihak termasuk pelanggan yang berurusan di pelabuhan dengan menawarkan perkhidmatan pengeluaran pas badan, sokongan umum pelanggan dan sebagainya mengikut keperluan serta urusan yang diperlukan.
Apa yang penting ujarnya, amalan pendigitalan ini sebagai tepat pada masanya seiring dengan kemajuan serta teknologi yang digunakan pada masa sekarang yang mana lebih cepat dan efisien.
"Proses transformasi ini merupakan satu usaha yang berterusan ke arah menjadikan BPHB sebagai sebuah pelabuhan laut dalam yang mempraktikkan pengurusan secara moden dan digital, sekali gus selari dengan permintaan operasi pelabuhan yang moden dan canggih," ujarnya.
Justeru katanya, BPHB akan sedaya upaya meningkatkan tahap kecekapan pengurusan pelabuhan, selain memberikan tumpuan kepada kepuasan pelanggan serta mempraktikkan ciri-ciri tahap keselamatan yang tinggi.
|