PDP lahir daripada denyut nadi rakyat luar bandar yang berkehendakan pembangunan adil, masa depan terjamin

Dr Rayong berucap mewakili presiden PDP pada majlis di Saratok.
KUCHING: Parti Demokratik Progresif (PDP) menegaskan bahawa parti itu bukanlah entiti politik yang muncul dalam sekelip mata, sebaliknya lahir daripada denyut nadi rakyat luar bandar yang berkehendakan pembangunan adil dan masa depan yang terjamin untuk anak-anak mereka.
Presidennya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perjuangan parti bukan berlandaskan kepentingan peribadi, pangkat atau kedudukan tetapi merupakan satu tanggungjawab kepada rakyat, negeri Sarawak dan tanah air yang tercinta.
“Perjuangan PDP adalah tentang mendengar suara rakyat pedalaman, membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Parlimen serta memastikan keperluan mereka dipenuhi dengan adil,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Naib Presiden PDP Dr Johnical Rayong Ngipa pada Majlis Makan Malam Begulai Sejalai Dalam PDP anjuran PDP Bahagian Krian, di Dewan Rumah Dayak, Saratok semalam.
Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya turut menekankan bahawa semangat perjuangan PDP selari dengan prinsip Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang menggabungkan PDP, PBB, SUPP dan PRS dalam satu barisan kukuh yang meraikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan.
“Kita membawa suara Sarawak bukan sahaja di Kuching tetapi juga di Putrajaya. Hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 mesti dipertahan dan dipenuhi walau apa jua cabaran yang mendatang,” tegasnya.
Dalam politik semasa, beliau berkata rakyat tidak lagi mahu mendengar retorik kosong sebaliknya mengharapkan tindakan yang nyata.
GPS katanya, tidak pernah berjanji bulan dan bintang, tetapi berikrar untuk bekerja keras bagi memastikan pembangunan sampai ke setiap pelosok negeri.
Mengulas peranan PDP, beliau mengingatkan ahli-ahli supaya terus berada di barisan hadapan mendengar suara rakyat, khususnya di Krian dan kawasan-kawasan lain yang diwakili.
“Kita tidak mahu hanya bercakap tanpa hasil. Jika kita berjanji, kita mesti tepati. Kita cakap, kita mesti buat,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua ahli parti atas kesetiaan dan sumbangan mereka tanpa mengira jawatan.
“Kekuatan PDP terletak di tangan ahli akar umbi yang berani, setia dan jujur dalam perjuangan. Tanpa anda semua, tiada siapa mampu mendaki kejayaan sendirian,” katanya.
Beliau mengingatkan ahli-ahli parti agar terus berganding bahu memperjuangkan nasib rakyat luar bandar dan memastikan PDP kekal relevan dalam landskap politik Sarawak.
Turut hadir, Naib-naib Presiden PDP, Ahli Dewan Negara Senator Pele Peter Tinggom, Friday Belik, Rolland Duat Jubin, Setiausaha Politik Premier Brian Fung, ketua-ketua Bahagian serta barisan Pemuda dan Wanita PDP seluruh Sarawak.
|