
Anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung insiden tersebut semalam.
KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang cuba melakukan samun di kawasan berdekatan sebuah bank di Tabuan Jaya, berjaya ditahan oleh orang awam pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan penangkapan suspek dan memaklumkan bahawa hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengaku terlibat dalam cubaan samun berkenaan.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah dan hasil ujian saringan awal air kencing menunjukkan dia positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Alexson turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Insp Tan Chiang Fook di talian 018-2628805.
“Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan individu yang mencurigakan kepada Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau mana-mana balai polis berdekatan,” tambah beliau.
|