
Anggota polis mengiringi Zakwan (tengah) selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.
KUCHING: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 26 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes membabitkan pemandu e-hailing berusia 23 tahun, Zakwan Mokhtar, yang didakwa membunuh Nurul Asikin Lan.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali selepas Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei memohon masa tambahan, sementara menunggu laporan forensik berkaitan pengekstrakan kandungan mesej WhatsApp.
Zakwan kini direman lanjut di Penjara Puncak Borneo sehingga sebutan akan datang memandangkan kesalahan membunuh adalah tidak boleh dijamin. Dia juga tidak diwakili peguam.
Zakwan sebelum ini didakwa pada 24 Disember tahun lalu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan pembunuhan tersebut kerana dipercayai memerlukan wang untuk membiayai perjalanan ke Kemboja bagi menonton perlawanan bola sepak. Mayat Nurul Asikin, 28, yang telah reput ditemui orang awam di dalam longkang di Jalan Setia Raja pada 14 Disember tahun lalu.
Penemuan tersebut membawa kepada penangkapan Zakwan pada hari yang sama dan dia terus direman sehingga kini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, suspek pada mulanya dipercayai telah meminta barang kemas milik Nurul Asikin iaitu seutas gelang dan sepasang anting-anting emas yang dipercayai untuk digadai.
|