Kuala Lumpur: Pasukan Polis Marin (PPM) menyita 280 set bubu naga dalam operasi bersepadu bersama Bahagian Konservasi dan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pulau Pinang di empat lokasi.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, operasi bermula jam 8 pagi kelmarin hingga 3 petang semalam di kawasan Sungai Udang, Batu Kawan dan Pantai Teluk Malas, Kuala Muda di Pulau Pinang.
"Dalam operasi di Sungai Udang sebanyak 80 peralatan menangkap ikan tanpa lesen (bubu naga) dirampas manakala di jeti tidak bernombor di Batu Kawan sebanyak 80 unit bubu naga dirampas.
"PPM turut merampas 120 unit bubu naga dalam operasi di kawasan persisiran Pantai Teluk Malas, Kuala Muda," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusley berkata, keseluruhan barangan yang dirampas bernilai RM28,000 diserah kepada Jabatan Perikanan Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 11(3) Akta Perikanan 1985.
"Rampasan bubu naga ini adalah hasil aduan dan rungutan masyarakat nelayan di pesisir pantai yang tidak berpuas hati terhadap aktiviti itu," katanya.