Edited by sfhzuraz at 22-4-2025 03:23 PM
Guru ditahan bantu siasatan 2 laporan gangguan seksual terhadap pelajar
Oleh Zuliaty Zulkiffli - April 22, 2025 @ 7:39am
ALOR SETAR: Polis menahan seorang guru di sebuah sekolah swasta di sini, Sabtu lalu untuk membantu siasatan dakwaan gangguan seksual terhadap pelajar.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata polis menerima dua laporan berhubung kejadian gangguan seksual terhadap pelajar membabitkan guru terbabit.
Laporan dibuat di Balai Polis Alor Setar oleh dua mangsa masing-masing berusia 15 dan 25 tahun.
"Dalam laporan pertama pada 18 April lalu, mangsa yang juga bekas pelajar guru terbabit mendakwa pernah diganggu secara seksual melalui hantaran pesanan berbaur lucah selain mengajak melakukan hubungan seks.
"Mangsa tampil membuat laporan polis selepas mendapat tahu guru terbabit turut melakukan perbuatan sama terhadap pelajar lain.
"Selain itu, dalam laporan polis kedua yang diterima pada 19 April pula, mangsa kedua juga mendakwa menerima hantaran berbaur lucah dari guru sama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, selain meminta gambar bogel, suspek turut mengajak untuk melakukan hubungan seks dengan mangsa.
Beliau berkata, disebabkan bimbang keselamatan diri serta khuatir perkara sama berlaku terhadap pelajar lain, kedua-dua mangsa kemudian tampil membuat laporan untuk tindakan lanjut.
"Sehubungan itu, polis sudah menahan suspek berusia 34 tahun pada jam 4.45 petang, Sabtu lalu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(a)/11 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017.
"Bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak pula jika sabit kesalahan boleh dikenakan seksaan penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua duanya," katanya.
Siti Nor Salawati berkata, suspek kini direman empat hari hingga 23 April ini bagi membantu siasatan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/04/1387463/guru-ditahan-bantu-siasatan-2-laporan-gangguan-seksual-terhadap-pelajar
|