
SAR: Pencarian mangsa di bawah Jambatan Tamparuli oleh pasukan PPDA Bomba dan PPM.
TUARAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki autistik berusia lima tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Bahagia II, Tamparuli sejak 20 April lalu, memasuki hari ketiga pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, operasi hari ketiga bermula seawal jam 9.00 pagi dan melibatkan 11 anggota BBP Tuaran bersama pasukan khas dari Unit K9, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta pasukan drone JBPM Sabah.
“Pencarian dijalankan secara intensif dengan pembahagian kepada empat sektor pencarian meliputi kawasan darat dan sungai.
“Pasukan PPDA turut menjalankan pencarian di kawasan sungai menggunakan bot, manakala bantuan anjing pengesan K9 digunakan di kawasan sekitar mangsa dilaporkan hilang,” katanya.
Tambahnya, operasi pencarian mangsa juga ditumpu di bahagian bawah Jambatan Tamparuli oleh pasukan PPDA Bomba dan Pasukan Polis Marin (PPM).
Turut terlibat dalam operasi ini ialah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan dron D’Bayu, serta NGO Jalinan Kasih.
Terdahulu, mangsa yang disahkan sebagai kanak-kanak autistik, dilaporkan hilang di kawasan berhampiran pejabat daerah Tamparuli sekitar jam 1.52 tengah hari Sabtu lalu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kehilangan ini diminta untuk segera menghubungi BBP Tuaran di talian 016-8207585.
Untuk rekod, PPDA adalah unit khas di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertanggungjawab dalam operasi menyelamat di persekitaran air seperti sungai, tasik, laut, dan kawasan banjir.
|